Kuala Lumpur: Pelakon dan pengarah, Rashidi Ishak menegur sikap segelintir masyarakat yang gemar mempertikaikan niat individu terbabit dalam misi kemanusiaan, seolah-olah mampu menilai isi hati seseorang.
Melalui hantaran di platform Threads, Rashidi meluahkan rasa kesal terhadap tindakan segelintir pihak yang sering mencari salah dan memperlekeh usaha murni aktivis atau sukarelawan yang turun padang membantu golongan memerlukan.
“Dah kenapa nak mempertikaikan niat seseorang? Boleh tembus baca ke dalam hati itu? Apa sahaja niat dia dalam misi kemanusiaan, itu antara dia dan Tuhan dia,” tulisnya.
Rashidi turut menyentuh mengenai sikap segelintir pengguna media sosial yang cepat menghakimi tanpa memahami konteks sebenar, sehingga menimbulkan perbalahan dalam kalangan masyarakat.
“Dah bergaduh pula dah. Macam-macam perangai. Nak bantu diperli, tak bersuara dikecam, turun protes dikutuk,” katanya.
Menurutnya, pandangan seseorang terhadap sesuatu perkara banyak dipengaruhi oleh cara mereka melihat sama ada dengan hati yang positif atau sebaliknya.
“Kalau lihat negatif, yang dapat akan negatif. Kalau lihat positif, yang dapat akan positif. Pilihlah,” katanya.
Hantaran Rashidi itu menerima pelbagai reaksi daripada pengguna Threads, yang rata-rata bersetuju dengan pandangan pelakon berusia 52 tahun itu.
Ramai menganggap tegurannya berasas memandangkan aktiviti kemanusiaan sering menjadi bahan perdebatan di media sosial, terutama apabila membabitkan selebriti.