Kuala Lumpur: “Alhamdulillah…saya pun tak segan (malu) nak tunjuk saya baca apa. Tak kisahlah. anggapan orang ini macam-macam kan, tapi ‘followers’ saya pun doakan saya.
“Mereka kata baguslah sebab kita (saya) nak buat kan. Daripada kita tak buat, kita nak buat dan kita ulang balik. Kita betulkan balik mana yang tak betul. Itu lebih bagus daripada langsung tak buat,” kata pelakon Zarina Zainuddin.
Zarina, 54, berkata demikian bagi mengulas tindakannya yang kini belajar mengaji semula dan berkongsi perkara ini secara langsung di TikTok.
Menurutnya, keputusan mengaji semula itu dibuat atas kesedaran sendiri dan dimulakan sejak dua bulan lalu.
“Saya hanya belajar dua kali seminggu iaitu pada Selasa dan Jumaat dengan seorang guru khas iaitu Ustazah Wani yang datang ke rumah.
“Saya nak betulkan makhraj jadi saya belajar semula tajwid. Saya memang mengaji masa kecil-kecil. Dulu saya ada belajar dengan seorang ustazah lain.
“Lepas itu saya sibuk dan leka dengan benda-benda lain, ustazah pun dah pindah. Dah lupa benda yang belajar. Al Quran bila lama tak belajar, tak mengaji, jadi macam lupa,” katanya kepada Harian Metro.
Zarina berkata, dia pernah belajar dengan seorang ustaz semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara dalam talian tetapi agak susah berbanding belajar secara bersemuka kerana boleh terus bertanyakan soalan.
“Sekarang alhamdulillah…walaupun saya mengulang balik daripada awal alif ba ta, sekarang baru Iqra yang ketiga tapi saya seronok.
Dia sikit-sikit tapi kita dapat faham dengan betul.
“Lepas belajar dengan ustazah, saya ulang baca sendiri pula. Kos untuk belajar bukanlah mahal sangat. Tak lah, makanan kita lagi mahal rasanya. Tiada pembaziran.
“Ini makanan hati tau. Makanan ini lagi penting sebab dia terangkan hati kita, bagi kita lebih dekat dengan al-Quran. Slowly but surely macam itu lah konsep saya,” katanya.
Menurutnya, apa yang dilakukan bertujuan memperbaiki mana-mana kekurangan dalam dirinya.
“Ia bermula masa saya buat nasyid selawat sebelum ini. Banyak yang tegur saya, makhraj tak betul. Jadi bagus juga bila orang tegur kita itu,
kita betulkanlah.
“Bila kita mengaji balik, kita lebih jelas nanti. Lebih faham lagi apa yang kita baca itu betul atau tak,” katanya.