Penyanyi baharu Indonesia, Asrilia Kurniati menyimpan hasrat mahu berkolaborasi bersama Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza sekali gus dikenali di negara ini.
Menurut penyanyi kelahiran Palembang, Indonesia ini, dia mengimpikan berganding dengan Siti Nurhaliza yang juga antara idolanya dalam bidang nyanyian sejak di bangku sekolah.
“Saya sentiasa mengagumi bakat nyanyian Siti Nurhaliza sejak dulu. Saya juga menyukai semua rangkaian lagunya seperti Aku Cinta Padamu, Bukan Cinta Biasa, Wajah Kekasih, Cindai, Seindah Biasa dan banyak lagi.
“Jika diberi peluang untuk berkolaborasi dengan penyanyi dari Malaysia, sudah tentu saya memilih Siti Nurhaliza kerana kehebatan vokalnya sukar ditandingi.
“Rasanya bukan saya seorang, mana-mana penyanyi dari Indonesia pun pasti mengagumi bakatnya,” katanya ketika sesi temubual bersama wakil media tempatan, baru-baru ini.
Buat permulaan, kata Asrilia, dia merakamkan semula lagu Terima Kasih Cinta nyanyian asal penyanyi popular Indonesia, Afghan yang cukup popular di negara ini.
“Saya tahu lagu Terima Kasih Cinta sangat popular di Malaysia.Jadi, peminat di sini boleh mendengar lagu Terima Kasih Cinta versi wanita yang saya rakam ini,” katanya.
Ditanya sama ada dia mahu menumpang nama Afghan dan populariti lagu Terima Kasih Cinta, Asrilia menafikannya.
“Tiada istilah, saya mahu menumpang nama Afghan atau populariti lagu itu sebaliknya saya hanya mahu berkongsi bakat yang ada.
” Lagipun ia satu kelainan apabila penyanyi wanita tampil merakamkan semula lagu itu.
“Saya berharap, Terima Kasih Cinta versi Asrilia dapat diterima dengan baik peminat di sini,” katanya yang turut muncul dengan dua lagi lagu iaitu Di Mana Salahnya dan Semakin Rindu Kemarin itu.
Pada masa sama, kata Asrilia, dia mahu dikenali di Malaysia jika ruang dan peluang diberikan.
“Indonesia dan Malaysia juga negara serumpun, jadi saya mahu menggunakan peluang ini untuk berkongsi bakat yang ada di sini,” katanya.
Mengulas penerimaan peminat pula, kata Asrilia, dia bersedia menerima apa sahaja kritikan atau komen netizen terhadap dirinya.
Katanya, mana-mana artis yang dikaitkan dengan gosip atau publisiti murahan adalah atas penilaian netizen.
“Bagi saya, publisiti murahan atau tidak, itu bergantung kepada orang yang menilainya. Kita sebagai ‘public figure’ harus terima jika apa yang kita lakukan ditafsir dengan pelbagai andaian.
“Jika niat kita lakukan sesuatu disalah anggap, itu perkara biasa. Tidak harus cepat melenting atau marah kerana kita yang memilih kerjaya ini.
“Pendek kata, publisiti baik atau buruk, hadap sahaja kerana itu jalan yang kita pilih. Asalkan kita tidak melakukan jenayah,” katanya.