DI saat ramai pemuzik generasi baharu lebih selesa menerbitkan single berbanding album, penyanyi Andy tampak lebih selesa untuk terus memegang prinsipnya.
Pernah mencipta nama bersama band Flop Poppy, ‘orang lama’ seperti Andy enggan mengehadkan proses berkarya.
“Sekarang, ramai penyanyi memilih untuk keluarkan single sahaja. Tapi saya datang daripada generasi lama yang mana, kami terbiasa masuk studio untuk tempoh lama dan terus hasilkan album penuh.
“Sebagai penulis lagu, saya memang suka merakam banyak karya sekali gus. Studio pun kami sudah ada sendiri, jadi lebih baik kami terus berkarya. Soal penerimaan, itu terpulang kepada pendengar,” katanya.
Terbaharu, Andy hadir dengan EP Tentang Aku Special Edition yang menjadi bukti bahawa dia masih aktif berkarya dengan sokongan dana daripada My Creative Ventures.
“Sebenarnya, EP Tentang Aku Special Edition ini mengandungi lapan lagu daripada album solo saya yang terdahulu berjudul Tentang Aku. Album asal itu diterbitkan secara digital tahun lalu.
“Selepas itu, kami keluarkan pula sebuah EP dengan tiga lagu baharu. Jadi keseluruhannya, Special Edition ini adalah kesinambungan daripada album asal Tentang Aku.
“Album penuh Tentang Aku sebenarnya bersifat ‘DIY’ yang mana, semuanya kami uruskan sendiri dan kami berjaya mencapai sasaran yang kami tetapkan pada waktu itu.
“Namun, saya rasa kami sebenarnya boleh hasilkan sesuatu yang lebih baik. Album itu asalnya dirancang untuk mempunyai sekitar 10 lagu, tetapi waktu itu kami hanya mampu hasilkan lapan sahaja,” katanya.
Katanya, sokongan dana itu juga berjaya merealisasikan impiannya untuk mendapatkan ‘bunyi’ yang diimpikan. “Apabila kami menerima bantuan dana, kami tambah tiga lagu baharu untuk menggambarkan bagaimana sepatutnya ‘bunyi’ sebenar album ini.
“Dengan bajet mencukupi, hasilnya memang jauh lebih baik seperti yang kami bayangkan sejak awal.
“Kalau tanpa bantuan dana itu, mustahil kami dapat menghasilkan album dengan mutu sebegitu. Jadi selepas ini, kami sangat mengharapkan sokongan ramai untuk terus berkarya dengan lebih baik,” katanya.

Berkongsi mengenai ilmu dan pengalamannya dalam industri muzik tanah air, Andy tidak menafikan ada bakat baharu yang meluahkan hasrat untuk berkolaborasi dengannya.
“Ada, ramai juga yang datang, cuma saya kena tengok kesesuaian. Sekarang saya sedang fokus buat muzik yang lebih matang, jadi saya pilih kolaborasi yang serasi.
“Saya juga ada impian untuk hasilkan satu album di mana setiap lagu saya kolaborasi dengan band baharu yang berbeza.
“Tapi semua itu perlukan bajet yang munasabah juga. Kalau cukup bajet, suasananya pasti lebih meriah,” katanya.
Selain itu, Andy juga menjadi antara artis senior yang aktif di TikTok dan kerap kali dilihat melakukan sesi siaran langsung.
“Sebenarnya, TikTok bagi saya lebih kepada platform untuk beritahu orang bahawa saya masih aktif dan masih menghasilkan karya baharu.
“Saya bukan gunakan media sosial untuk kejar populariti. Populariti itu dah lama berlalu, saya cuma nak berkongsi pengalaman mengenai rakaman zaman analog, digital, proses menjadi penulis lagu, penerbit, dan pemuzik.
“Kalau ada yang boleh ambil manfaat daripada pengalaman saya, itu sudah cukup,” katanya.