Kuala Lumpur: Aktivis kemanusiaan Nur Heliza Helmi, 39, menyifatkan anggota tentera wanita Israel lebih kejam dan tidak berperikemanusiaan berbanding anggota tentera lelaki.
Menurut Heliza, dia dihalang oleh tentera wanita Israel untuk solat ketika dalam penjara, namun dibenarkan seorang tentera lelaki selepas bertanya kepadanya.
“Sebenarnya tentera perempuan ini lagi dahsyat, lagi kejam. Tapi nasib baik ada tentera lelaki dan dia tanya saya apa yang berlaku.
“Saya cakap pada dia (tentera lelaki) yang saya seorang Muslim dan saya perlu solat. Dia nampaknya faham,” katanya ketika ditemubual media Malaysia.
Menurut Heliza, dia bersama adiknya, Hazwani bagaimanapun berasa sangat bersyukur kerana Allah melindungi aurat mereka dan dapat memakai tudung ketika ditahan di penjara.
Katanya, pengalaman dilaluinya sebagai tahanan di penjara Israel juga sangat kejam apabila mereka hanya diberikan makanan pada 2 Oktober lalu dan selepas itu dibiar kelaparan.
“Saya juga tidak diberikan minuman selama dua hari dan apabila diminta kepada tentera Israel langsung tidak dilayan sehingga terpaksa minum air dari tandas,” katanya.
Pada Ahad lalu, Heliza bersama 22 peserta misi bantuan Global Sumud Flotilla (GSF) dari Malaysia dibawa keluar dari Gaza ke Istanbul, Turkiye dengan penerbangan.
Selepas dua hari di Turkiye, ketika ini peserta GSF dalam perjalanan balik ke Malaysia dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), malam ini.