Kuala Lumpur: Penyanyi yang juga aktivis kemanusiaan, Hazwani Helmi, 28, menyifatkan layanan diberikan tentera Israel kepada tahanan Global Sumud Flotilla (GSF) sangat buruk umpama binatang.

Hazwani kini berada di Istanbul, Turkiye bersama 22 lagi peserta misi GSF dari Malaysia yang sebelum ini ditahan di perairan antarabangsa oleh tentera Israel pada Khamis lalu.

Menurutnya, dia juga melihat bagaimana layanan tentera Israel terhadap aktivis dari Sweden, Greta Thunberg, 22, yang sangat teruk.

“Apa yang boleh saya cakap, sangat teruk (layanan). Mereka (tentera Israel) layan kami macam binatang tanpa makanan dan air yang bersih.

“Saya juga melihat keadaan dialami Greta yang dilayan kejam. Dia (Greta) ditarik dengan kuat dan diletakkan bendera Israel pada muka.

“Mereka layan Greta memang macam binatang. Mereka (tentera Israel) juga membuang semua ubat-ubatan termasuk barangan lain,” katanya ketika ditemubual media Turkiye sebaik tiba di Istanbul.

Kata Hazwani lagi, sekarang tiba masanya semua masyarakat dunia mengetahui bahawa tentera Israel memang sangat kejam.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan seramai 23 sukarelawan dari Malaysia yang menyertai konvoi misi kemanusiaan GSF ditahan tentera Israel.

Namun, pada petang semalam Anwar memaklumkan kesemua mereka yang ditahan itu akhirnya dibebaskan dan kumpulan terbabit dilaporkan bergerak ke Lapangan Terbang Ramon di selatan Israel untuk ke Turkiye.

Kumpulan aktivis Malaysia berkenaan menaiki pesawat khas dari Turkiye yang menerbangkan mereka ke Istanbul dan difahamkan dijangka tiba di tanah air malam ini atau esok.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *