Dilahir dan membesar di kota metropolitan Hong Kong menerbitkan rasa bangga buat Robin Lee, pengarah filem dokumentari Four Trails yang memenangi kategori Pengarah Baharu Terbaik Hong Kong Film Awards tahun ini.
Robin melihat banyak keistimewaan Hong Kong yang boleh ditonjolkan antaranya acara larian denai yang diadakan hanya sekali setahun sempena perayaan Tahun Baharu Cina.
“Sejak kecil lagi saya menggemari sukan lasak dan sangat berminat untuk memvisualkan setiap detik perjalanan sukan termasuklah larian denai yang amat menarik.
“Tidak ramai yang tahu sebenarnya Hong Kong boleh menjadi lokasi larian denai. Lazimnya, orang tengok negara lain tapi dengan adanya Four Trails, ia membuktikan sesuatu kepada orang luar bahawa Hong Kong juga boleh jadi pilihan pelari denai atau ultra.
“Mereka yang mengambil bahagian ternyata amat tabah kerana cabaran larian ultra ini adalah perjalanan sepanjang 298 kilometer (km) yang merangkumi empat laluan utama di Hong Kong (MacLehose, Wilson, Hong Kong Island, dan Lantau Trails),” katanya.
Robin yang hadir ke Malaysia sempena Asian Film Awards Academy (AFAA) baru-baru ini berkata, terdapat banyak pemandangan indah di Hong Kong boleh diketengahkan,
“Ia bukan saja bandar metropolitan pesat membangun yang terkenal dengar menara pencakar langit di sana sini. Bagi saya, itu juga antara sebab mengapa saya nak buat filem pendek (dokumentari) ini.
“Apabila menang anugerah, saya sifatkan ini sebagai bonus yang membuatkan orang lebih kenal Hong Kong sebagai lokasi larian ultra atau denai,” katanya.
Menurutnya, peserta untuk larian ini hanya 18 orang disebabkan ia amat mencabar, selain kos yang tinggi untuk menyertainya.

Ditanya berkenaan projek akan datang, Robin yang sudah 13 tahun terbabit dalam pengarahan fotografi mengakui terbuka untuk mengarahkan apa saja genre filem, namun bergantung kepada peluang.
“Belum ada perancangan lagi. Four Trails sendiri wujud atas dasar minat dan dana semua adalah sendiri (self-funded).
“Saya bersama abang (Benjamin Lee) sama-sama siapkan Four Trails. Kami pun tidak tahu sejauh mana filem ini akan pergi sebab memang belum pernah menghasilkannya.
“Dapat bawa filem ini ke Malaysia, orang di sini boleh tonton macam tidak percaya semua ini berlaku. Kita tengok nanti apa peluang yang ada. Kalau dapat ke Hollywood pun, itu satu peluang keemasan yang tidak wajar dilepaskan,” katanya.
Sementara itu, Hong Kong Film Gala Presentation – Kuala Lumpur anjuran Asian Film Awards Academy (AFAA) dengan kerjasama Golden Screen Cinemas (GSC) dan pengedar GSC Movies (GSCM) berlangsung pada 20 hingga 28 September lalu di Aurum Theatre, The Exchange TRX.
Selepas kejayaan edisi Bangkok, kali ini Kuala Lumpur dipilih sebagai lokasi, menampilkan enam filem Hong Kong terpilih seperti My First of May, Fight For Tomorrow, Good Game, Four Trai