Kuala Lumpur : Suami kepada artis veteran, Dian P Ramlee iaitu Md Amanti Ahmad, 72, menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di USJ Subang Jaya pada jam 10.50 pagi tadi.
Ketika dihubungi Dian atau nama sebenarnya, Salfarina Mum, 67, berkata, arwah suaminya memang ada menghidap kencing manis dan keadaan jantungnya juga lemah serta mula kurang sihat sejak sambutan Aidiladha lalu.
“Suami okay sahaja pagi tadi tapi dia beritahu cuma berasa letih dan lemah.
“Sepatutnya, kami merancang nak pergi majlis perkahwinan sepupunya tapi tak jadi kerana keadaannya lemah.
“Saya pun naik ke tingkat atas untuk salin baju tapi kemudian dengar macam ada bunyi kat bawah dan tengok suami tengah tarik nafas dia yang akhir dan terus senyap,” katanya kepada Harian Metro.
Dian meluahkan rasa syukur apabila urusan pengakhiran suaminya juga dipermudahkan Allah SWT.
“Alhamdulillah, arwah pergi senang sangat dan wajahnya nampak bersih dan macam dalam tidur sahaja.
“Saya dan anak-anak juga reda dengan pemergiannya itu. Sepanjang hidup bersama, arwah tidak pernah membebankan saya dan anak-anak.
“Saya juga mohon kepada semua rakan yang mengenali arwah supaya turut sama mendoakan rohnya ditempatkan dalam kalangan yang beriman,” katanya.
Jenazah Allahyarham Md Amanti dikebumikan di Tanah Perkuburan USJ hari ini.
Allahyarham Md Amanti sudah bersara dari berkhidmat sebagai pramugara dan kerjaya terakhirnya juga sebagai jurulatih untuk kabin kru baharu.
Hasil perkongsian hidup bersama arwah, Dian dikurniakan tiga anak dan enam cucu.
Dian mendirikan rumah tangga bersama Md Amanti pada 28 September 1981 dan kekal hingga sekarang.
Hasil perkahwinan mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Md Al Safrin, Siti Arianti dan Siti Adianti serta enam cucu.