Kuala Lumpur: Pelakon veteran Sathiya, 61, terharu dan sangat gembira apabila setiap hari menerima pelawat sama ada rakan artis mahupun peminat sejak kaki kirinya dipotong, baru-baru ini.

Anak sulung Sathiya, iaitu Amani Sathia, 36, berkata dia turut gembira melihat senyuman bapanya yang ternyata disayangi ramai bahkan kisahnya mendapat perhatian masyarakat.

“Tak terkira pelawat yang datang selepas Selasa yang lalu. Hari-hari ada orang lawat pada waktu tengah hari sampai ke petang. Banyak kawan-kawan artis, pengarah, dan peminat melawat.

“Ayah nampak ‘happy’ jumpa kawan-kawannya serta peminat. Mestilah ‘happy’ apabila ramai ambil berat kan? Dia juga seronok dapat bersembang dengan mereka,” katanya dihubungi Harian Metro, hari ini.

Berkongsi mengenai keadaan kesihatan bapanya selepas kaki kiri dipotong akibat kencing manis kronik, Amani berkata bapanya masih ditahan di hospital berikutan sel darah putihnya tinggi.

“Ayah okay sekarang cuma ditahan kerana perlu masuk ubatan untuk situasi darahnya itu. Doktor cakap kena ambil ubatan itu untuk kurangkan kuman dan selepas itu boleh balik. Tapi tak pasti bila boleh balik,” katanya.

Amani turut menzahirkan rasa syukur terhadap keprihatinan ramai yang sudi menyumbang pelbagai jenis bantuan buat Sathiya.

“Ya memang ada ramai orang beri sumbangan termasuk kawan-kawannya yang datang tengok dia. Pengarah Murali Abdullah pun ada datang dan salur bantuan sumbangan juga,” katanya.

Beberapa hari lalu, Murali Abdullah antara yang berkongsi kisah Sathiya dan memohon jasa ramai untuk salur bantuan buatnya.

Terdahulu, kaki kiri pelawak veteran itu dipotong akibat kencing manis kronik yang dihidapi dalam pembedahan di Hospital Ampang, Selangor.

Sathiya yang membintangi sitkom popular Pi Mai Pi Mai Tang Tu, sangat positif dan optimis dengan cadangan doktor.

Malah, Sathiya tidak menunjukkan reaksi sedih atau kecewa selepas menjalani pembedahan.

Amani juga ada berkongsi bapanya menyatakan hasrat untuk terus berlakon jika masih mendapat tawaran.

Sebelum pembedahan, Sathiya ada beritahu, jika ada ‘job’, dia akan terima biarpun berkerusi roda.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *