PETALING JAYA: Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza berpendapat jihad selebriti wanita tempatan pada misi bantuan kemanusiaan Global Sumud Flotilla bagi memecahkan sekatan Israel terhadap Gaza, tidak sepatutnya dipertikaikan.

Siti atau nama penuh, Siti Nurhaliza Tarudin, 46, berkata, tindakan selebriti seperti Zizi Kirana dan Ardell Aryana untuk menyertai misi itu wajar dihormati atas dasar perjuangan menyampaikan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin.

“Setiap orang ada perjuangan. Kadang-kadang perjuangan setiap orang ini berbeza. Saya percaya setiap perjuangan mesti dapat izin.

“Kalau suami dia izinkan, saya rasa suami dan keluarganya lebih mengetahui.

“Setiap orang ada keinginan dan selagi suaminya mengizinkan. Kita tiada di tempat dia. Kita tidak tahu. Jadi, apa sahaja jihad jalan Allah, jihad untuk membantu saudara Islam yang lain, kita serah kepada Allah.

“Kadang-kadang susah kita hendak cakap kerana risau jadi fitnah. Kita tak boleh pergi, macam mana mereka pergi. Kita yang mampu pun tak boleh buat apa yang dia buat,” katanya merujuk kepada pembabitan Zizi dan Ardell dalam misi itu.

Zizi dan Ardell menjadi antara selebriti yang menyertai misi bantuan kemanusiaan ke Gaza bersama beberapa aktivis dari Malaysia.

Pelayaran merentasi Laut Mediterranean yang membawa makanan, ubat-ubatan dan mesej keamanan, dijadual tiba di perairan Gaza, akhir bulan ini.

Misi itu membabitkan lebih 1,000 sukarelawan yang menaiki hampir 70 bot dengan matlamat memecah kepungan terhadap Gaza.

Siti berpandangan usaha selebriti dan aktivis kemanusiaan dalam misi Global Sumud Flotilla wajar diberi sokongan.

“Orang ramai wajar beri sokongan padu dan terus berdoa agar jihad mereka dipermudahkan.

“Kita doakan semua yang berjihad dan membantu saudara kita di Gaza, dilindungi Allah daripada ancaman.

“Semoga jihadnya untuk menyampaikan makanan dan keperluan rakyat Gaza, dipermudahkan Allah. Dia jihad, mempertaruhkan nyawanya, kita tak tahu boleh sampai atau tidak, selamat atau tidak.

“Jadi kita di Malaysia doakan sahaja yang terbaik. Itu lebih afdal bagi saya daripada kita pertikaikan tindakan mereka.

Hanya Allah sahaja boleh lindungi mereka,” katanya ditemui pada acara Paddle For Hope anjuran Yayasan Nurjiwa di Subang, Petaling Jaya, baru-baru ini.

Siti turut menasihatkan orang ramai agar tidak terlalu cepat menghukum individu yang tidak menunjukkan sokongan secara terbuka terhadap misi Global Sumud Flotila dalam media sosial.

“Bagi saya, kalau kita tahu perjuangan ini dan sama-sama dengan mereka (Palestin), insya-Allah kita boleh buat dengan cara tersendiri.

“Kita nak ‘repost’ atau berdoa pun masing-masing punya cara. Tapi janganlah kita hukum orang yang tidak berkongsi dalam media sosial.

“Mungkin mereka berdoa diam-diam atau beri sumbangan duit kita tak tahu. Cuma sebagai umat Islam, atas keprihatinan kita kena tunjukkan sokongan kepada kawan-kawan yang berjihad.

“Jangan berhenti bercakap, bersuara walau dengan apa cara sekali pun. Kalau tidak kepada Global Sumud Flotila pun, kita war-warkan mengenai apa yang berlaku di Gaza ,” katanya.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *