Subang Jaya: Penyanyi Zahid Baharuddin, 44, memaklumkan karier nyanyiannya sekarang semakin perlahan berbanding dahulu.
Zahid yang juga juara Akademi Fantasia (AF) musim kedua berkata, dia tidak merasa sedih dengan apa yang berlaku dan menganggap ia proses biasa.
“Saya faham roda kehidupan artis ini. Takkan selamanya indah kan. Jadi saya pun dah bersedia dengan benda ini. Bila dah tahu kita dah kurang, apa langkah seterusnya perlu dibuat.
“Sebab itu saya kini menyanyi bersama sebuah band di kelab di ibu kota, dua kali seminggu. Tapi ia bukan kontrak bulan-bulan. Sekurang-kurangnya dapatlah menyanyi.
“Kira taklah saya rasa ‘boring’ sangat tak buat apa-apa. Ia untuk menghilangkan ketagihan menyanyi,” katanya kepada Harian Metro.
Zahid ditemui semasa menyertai acara amal pertandingan Stars On Court Celebrity Pickleball Fun Match anjuran Yayasan Nurjiwa di Grand Pickleball Arena di sini, semalam.
Menurutnya, persembahan di kelab agak berbeza kerana repertoire (koleksi) lagu-lagu yang dinyanyikan agak lain daripada persembahan dilakukannya.
“Saya kena menyanyi lagu orang dan kadang-kadang penonton buat permintaan lagu. Tapi dalam masa sama, saya suka juga beraksi dengan band.
“Selain menyanyi dengan band, ada juga acara, show-show dan gig lain saya buat. Tidak terkecuali saya masih menjayakan program anjuran Astro. Alhamdulillah… untuk tahun ini rezeki saya memang ada,” katanya.
Zahid berkata, dia cuma tiada lagu baharu dan setiap kali bertemu peminat, ada yang bertanyakan produk terbaharu darinya.
“Saya sedang fikirkan sama ada nak buat single baharu atau tak. Ada peminat yang nak tengok persembahan saya di kelab dan bagi saya tiada masalah.
“Cuma saya jelaskan keadaan di kelab itu agar mereka faham. Saya juga akan sertai satu program realiti TV Oktober ini,” katanya.