Los Angeles: Siri Adolescence, The Studio, The Pitt dan The Late Show With Stephen Colbert menjadi antara pemenang utama pada malam gemilang Anugerah Emmy 2025 yang berlangsung, hari ini.

Adolescence berjaya meraih enam anugerah, termasuk anugerah siri terhad atau antologi terbaik.

Owen Cooper mencipta sejarah apabila menjadi pemenang lelaki termuda dalam mana-mana kategori lakonan menerusi kemenangannya sebagai Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (Siri Terhad atau Antologi atau Filem).

Penerbit eksekutif, penulis dan bintang utamanya, Stephen Graham, dinobatkan Pelakon Lelaki Terbaik dalam Siri Terhad atau Antologi atau Filem, manakala Erin Doherty menang Pelakon Pembantu Wanita Terbaik.

Philip Barantini memenangi anugerah Pengarahan Terbaik untuk Siri Terhad atau Antologi atau Filem menerusi Adolescence. Graham turut membawa pulang trofi Emmy ketiga bersama Jack Thorne untuk anugerah Penulisan Terbaik.

Seth Rogen memenangi empat untuk The Studio termasuk Siri Komedi Terbaik dan Pelakon Lelaki Terbaik. Juga Pengarahan Terbaik bersama Evan Goldberg dan berkongsi trofi Penulisan Terbaik dengan Goldberg, Peter Huyck, Alex Gregory dan Frida Perez.

Drama The Pitt membawa pulang tiga anugerah termasuk Siri Drama Terbaik. Bintang utamanya, Noah Wyle, memenangi Pelakon Lelaki Terbaik dalam Siri Drama.

Antara kemenangan mengejut adalah Katherine LaNasa diumumkan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik dalam Siri Drama untuk The Pitt, menewaskan calon lain yang membabitkan empat bintang dari siri popular The White Lotus.

Satu lagi kejutan adalah Jeff Hiller dinobatkn Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik dalam Siri Komedi untuk Somebody Somewhere, menewaskan nama-nama besar seperti Harrison Ford yang tercalon pertama kali.

The Late Show With Stephen Colbert memenangi Siri Bual Bicara Terbaik, dua bulan selepas CBS mengumumkan pembatalan siri terbabit. Dia menerima tepukan gemuruh bersama pasukannya ketika naik pentas.

Tramell Tillman menjadi lelaki kulit hitam pertama memenangi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik dalam Siri Drama menerusi Severance. Britt Lower turut unggul sebagai Pelakon Wanita Terbaik dalam Siri Drama dalam siri sama.

Jean Smart membawa pulang anugerah pelakon wanita terbaik dalam siri komedi untuk Hacks. Rakan pelakonnya, Hannah Einbinder, pula memenangi anugerah pelakon pembantu wanita terbaik dalam siri komedi.

Bintang siri The Penguin, Cristin Milioti memenangi Pelakon Wanita Terbaik dalam Siri Terhad atau Antologi atau Filem. The Traitors pula diumumkan sebagai Program Pertandingan Realiti Terbaik.

Last Week Tonight With John Oliver membawa pulang trofi Penulisan Terbaik bagi Siri Variasi serta Siri Variasi Berskrip Terbaik. Adam Randall menang Pengarahan Terbaik untuk siri drama Slow Horses, manakala Dan Gilroy menang untuk Penulisan Siri Drama Terbaik (Andor).

Anugerah Emmy ke-77 dihoskan Nate Bargatze secara langsung melalui CBS dari Teater Peacock di sini. Acara itu juga disiarkan secara langsung dan atas permintaan di Paramount.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *