KUALA LUMPUR: Penerbit tersohor, Datuk Yusof Haslam, 71, menyifatkan penubuhan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) pada 1980 sebagai langkah murni kerajaan membangunkan industri perfileman tanah air untuk jangka panjang.
Sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-68, esok, figura seni yang sudah lebih lima dekad mengabdikan diri dalam dunia kreatif menyeru warga industri agar mensyukuri setiap inisiatif kerajaan.
“Terima kasih atas keprihatinan kerajaan membangunkan negara terutama dalam industri perfileman. Zaman Allahyarham Tan Sri P Ramlee dulu, FINAS belum ada.
“Kalau beliau masih hidup sampai hari ini, mungkin beliau lebih jauh ke hadapan. Kita yang masih ada hari ini harus bersyukur dengan nikmat kerajaan yang ambil berat soal industri,” katanya ditemui pada majlis doa selamat dan pelancaran filem Malaikat Malam di Restoran Haslam, di sini, semalam.
Dalam pada itu, pemilik empayar Skop Productions Sdn Bhd itu menempelak gesaan segelintir pihak yang mahu FINAS dibubarkan hanya kerana tidak puas hati dengan isu tertentu.
“Semoga kita jadi bangsa yang tahu berterima kasih. Saya marah dengan pihak yang minta FINAS ditutup kerana mereka pentingkan diri. Bila dapat hak, mereka diam, bila tak dapat, mereka hentam. Itu bangsa yang tak bersyukur,” tegasnya.
Menyentuh pengalaman peribadi, Yusof mengimbas perjalanan hidup sejak berhijrah dari Perak ke Kuala Lumpur dan menyaksikan sendiri transformasi ibu negara.
“Saya lahir tiga tahun sebelum merdeka. Dari Perak saya datang ke Kuala Lumpur, duduk di rumah setinggan. Dari hutan, saya lihat sendiri Kuala Lumpur membangun depan mata saya.
“Kita sudah jauh ke depan dan terima kasih kepada kerajaan, tak kira parti mana memerintah sekalipun,” ungkap Yusof.