Kuala Lumpur: Penyanyi Dayang Nurfaizah mengakui terhibur apabila mendengar sorakan peminat yang memintanya berkahwin dengan rakan artis, Hael Husaini, ketika kemunculannya di konsert Hael Husaini & Repertoire, semalam.

Dayang atau nama sebenarnya Dayang Nurfaizah Awang Dowty, 44, berkata, reaksi itu dianggapnya sebagai sesuatu yang manis dan lucu.

“Bila dengar itu saya tergelak, sangat comel, terima kasih. Saya fikir kita kena hormat peminat jika mereka mahu padankan kita dengan sesiapa.

“Perkara ini bukan hanya terjadi di Malaysia, malah di Hollywood. Peminat memang suka ‘ship’ (kenenkan) artis.

“Saya harap mereka terus menyokong saya dan Hael. Tiada apa yang boleh saya katakan selain terima kasih dan doakan yang baik-baik,” katanya.

Sementara itu, Hael atau nama sebenarnya Hal Husaini Razmi, 37, berpendapat sorakan itu mungkin bukan ditujukan kepada mereka berdua.

“Saya rasa sorakan itu bukan untuk saya dan Dayang, mungkin untuk pasangan lain. Tidak mengapa, saya anggap itu sebagai salah satu cara lagu-lagu saya diraikan.

“Ada lagu saya yang sedih, ada juga yang meraikan kebahagiaan. Bila orang mendoakan, itu sudah menjadi kejayaan terbesar malam ini,” katanya.

Suasana di Zepp Kuala Lumpur gamat apabila peminat melaungkan perkataan ‘kahwin’ berulang kali ketika persembahan duet mereka.

Dayang memeriahkan konsert sulung Hael itu dengan menyampaikan dua lagu popular, Haram dan Hari Ini.

Terdahulu, khabar angin mengenai hubungan istimewa antara mereka pernah tular apabila kedua-duanya memberi bayangan sudah tidak lagi solo.

Pada Jun lalu, timbul pula dakwaan Dayang sudah bertunang, namun kedua-duanya menafikan dan menegaskan hubungan mereka hanya sekadar sahabat.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *