Kuala Lumpur: “Saya enggan memperbesarkan isu ini kerana bagi saya, saya juga insan biasa sama seperti orang lain.

“Mungkin ada golongan yang tak tengok atau tak suka drama dan mungkin mereka tonton program agama, jadi kalau mereka tak kenal saya bukanlah satu perkara mengejutkan pun, “.

Demikian kata pelakon Fasha Sandha yang mengulas video tular berkenaan seorang wanita warga emas yang tidak mengenalinya.

Fasha yang memuat naik video terbabit di laman sosialnya berkata, dia langsung tidak tersinggung dengan peristiwa itu.

“Saya tak meletakkan diri ini sebagai selebriti. Kalau bekerja mungkin saya anggap diri ini sebagai artis kerana ditemubual wartawan.

“Kalau tidak, saya hanya ibarat orang biasa boleh buat kerja mencuci, pergi pasar atau bawa kereta sendiri,” katanya.

Pelakon cantik ini berkata demikian ketika ditemui pada sidang media pengumuman dirinya dan suami, Aidil Aziz sebagai pemilik bersama kedai Kopi Saigon cawangan ke-208 di pusat beli-belah, MyTown, Cheras di sini, hari ini.

Fasha berkata, biarpun dikenali dan disanjung peminat, dia tetap mengamalkan sikap merendah diri yang menjadi pegangannya sejak dahulu.

“Saya dari dulu memang bersifat sebegini. Saya kekalkan bila jadi diri sendiri dan merendah diri orang akan lebih dekat dengan diri.

“Saya tiada masalah kalau orang tak kenal sebab zaman sudah berbeza.

“Ada sahaja orang yang tak tengok televisyen (TV) dan memilih platform lain atau media sosial. Jadi, kalau orang tak kenal saya okay sahaja,” katanya.

Menerusi video terbabit, wanita warga emas itu tidak mengenalinya. Paling mencuit hati, wanita terbabit mahu menjodohkan Fasha dengan cucunya.

“Saya percaya ramai orang yang masih tidak mengenali saya sejak mula berhijab.

“Saya percaya mak cik itu tak perasan sebab saya tak bersolek. Mungkin kalau di TV saya selalu bersolek, jadi mungkin bila tengok saya sebegitu dia tak kenal.

“Saya terkejut juga sebab ketika itu sedang buat ‘content’ untuk kedai sepupu saya, tapi mak cik itu pula mahu ‘kenenkan’ saya dengan anaknya.

“Kemudian, anak mak cik itu datang minta maaf kerana ibunya tak kenal saya. Saya tak kisah pun kalau orang tak kenal, saya okay sahaja. Tak adalah saya anggap semua orang di Malaysia ini kenal saya,” katanya.

Mengulas mengenai bisnes terbaharu yang diceburinya, Fasha berkata, dia dan Aidil akan menguruskan cawangan baharu Kopi Saigon ini dalam pelbagai sudut termasuk operasi, pemasaran, latihan dan sokongan teknikal.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *