Kuala Lumpur: Pempengaruh Sofyank, 29, bersyukur dapat bertemu pelakon legenda Hong Kong, Jackie Chan, di sebuah acara di Beijing dan menyifatkan ia sebuah lagi impian jadi kenyataan.

Sofyank atau nama sebenarnya Muhammad Sofian Abdullah bagaimanapun sedikit terkilan apabila perancangan asal menghasilkan video bersama Jackie tidak kesampaian gara-gara kekangan masa.

“Alhamdulillah waktu di Beijing, kami berpeluang untuk berjumpa dengan aktor legenda, iaitu Jackie Chan. Plan asal kami akan shoot video vfx bersama dengan Jackie Chan.

“Tetapi disebabkan kesuntukan masa, tidak sempat untuk kami tunaikan pelan terbabit. Tetapi tak mengapa, memori bertemu mata dengan seorang legenda dunia yang sering mewarnai tv zaman kanak-kanak kita semua dulu, sudah cukup memadai untuk kami.

“Pertemuan kali ini menambahkan lagi semangat baru dalam diri kami untuk terus menghasilkan konten,” katanya berkongsi keterujaan itu menerusi hantaran di media sosialnya.

Dalam pada itu, Sofyank mengakui pertemuan terbabit sememangnya menaikkan lagi semangatnya untuk terus cuba mewarnai dan menghiburkan hari-hari semua dengan konten yang dihasilkan.

“InsyaAllah, kalau diberi peluang satu hari nanti, kami akan hasilkan “konten” untuk ditayangkan dilayar perak pula. Doakan tau!,” katanya.

Kunjungan Sofyank dan pasukannya ke Beijing itu bersempena pelancaran filem The Shadows Edge.

Terdahulu, pempengaruh terbabit pernah mengagumkan ramai apabila berpeluang menjalani penggambaran video kesan visual khas (VFX) bersama bintang Hollywood, Tom Cruise.

Dia merakam video terbabit bersama pelakon terkenal itu di Tokyo, Jepun pada Mei lalu.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *