Kuala Lumpur: Penyanyi, Adira Suhaimi sentiasa memberi sokongan kepada Bella Astillah termasuk selepas insiden di Anugerah Melodi Terhangat 2025 (AMT 2025), kelmarin.
Adira, 33, yang menganggap Bella, 31, seperti adiknya sendiri berkata, mereka sentiasa berhubung menerusi WhatsApp dan hubungan itu kekal akrab.
“Hubungan kita masih sama, insya-Allah. Ada saja kita berhubung. Semalam, saya ada mesej dia bagi menitipkan kata-kata semangat. Itu sentiasa dilakukan.
“Kalau dia gembira, saya tumpang gembira. Kalau dia sedih pun, kita sama sedih juga. Tapi apa yang saya boleh buat, saya sentiasa doakan yang terbaik untuk dia. Insya-Allah.
“Tapi kita tengok Bella dia kuat, dia okay,” katanya ditemui pada sesi latihan untuk Festival Tentang Cinta di Studio Al Pamalo, di sini, semalam.
Ditanya reaksinya sendiri apabila menyaksikan insiden membabitkan Bella dan Sophia Albarakbah itu, Adira enggan mengulas.
“Kalau boleh saya tak nak masuk campur, tapi saya sentiasa doakan Bella supaya sentiasa bahagia. Insya-Allah. Yang lain saya tak boleh nak komen.
“Saya juga tak nak bercerita apa topik yang kami selalu kongsi bersama. Ia rahsia kami berdua,” katanya.
Mengulas hubungan Bella dengan Syed Saddiq pula, Adira berkata, dia gembira melihat perkara itu.
“Tentulah, kita nak tengok dia bahagia. Saya sendiri pun senyum-senyum tengok video-video dia kan,” katanya.
Ditanya perasaannya sebagai seorang kawan berkenaan Hafiz Suip yang mengumumkan sudah bercerai dengan isterinya, Adira melahirkan perasaan simpati.
“Kita tak ada di tempat dia. Tapi apa yang kita boleh buat adalah doakan yang dia boleh kekal dalam industri. Dia tetap semangat untuk teruskan karier dia dan bersemangat untuk melalui hari-hari dia.
“Saya sentiasa mendoakan yang terbaik untuk Hafiz. Semoga dia terus kuat, tenang untuk menjalani kehidupan. Insya-Allah. Jangan berhenti menyanyi sebab itulah bakat dia yang dia.
“Bukan semua orang ada bakat itu. Dia buka mulut saja, dah sedap. Jadi harap-harap dia okey. Tapi dia dah ambil show semula kan, ada konsert semua,” katanya.
Adira yang pernah berduet dengan Hafiz menerusi lagu runut bunyi filem Ombak Rindu, tidak menolak sekiranya ada komposer mahu menggandingkan mereka semula sebagai pasangan duet.
Sementara itu, pentas Festival Tentang Cinta akan berlangsung di Sabah International Convention Centre (SICC), Kota Kinabalu pada 9 Ogos ini.
Selain Adira, ia turut menampilkan Hael Husaini, Ara Johari dan Marygrace serta dua penyanyi terkenal Indonesia Andmesh dan Ziva Magnolya.
“Saya sangat teruja sebab ini bukan sekadar persembahan tapi pulang ke ‘rumah’ untuk berkongsi lagu-lagu yang pernah menemani ramai dalam fasa cinta mereka. Saya mahu peminat rasa keikhlasan saya atas pentas nanti,” katanya.