Kuala Lumpur: Pengacara, Nabil Ahmad tidak menduga hasrat murninya yang merancang membina madrasah di tanah rumah pusaka keluarga di Mambau, Negeri Sembilan mendapat sokongan padu ramai pihak.
Ujar penyampai radio dan pelawak ini, sejak berita itu mendapat liputan meluas daripada media, ramai pihak mengirim mesej (DM) kepadanya di media sosial untuk turut serta menghulur dana pembinaan.
“Saya ucapkan berbanyak terima kasih kepada mereka yang sudah DM saya di Instagram (IG) untuk bersama-sama terbabit dengan perancangan membina madrasah itu. Saya sangat menghargainya.
“Begitu juga, ramai rakan artis menyatakan minat dan keinginan mereka menghulur dana untuk bantu saya menyiapkan pembinaan berkenaan. Memang saya tak sangka, ramai ingin ikut serta.
“Apapun, saya berterima kasih kepada pihak media yang sudah menguar-uarkan berita ini sehingga menjadi perhatian ramai. Tapi, saya mahu pastikan perancangan ini menjadi dahulu,” katanya kepada Harian Metro.
Menurut Nabil, 42, dia perlu berhati-hati dalam membuat keputusan untuk menerima bantuan dana daripada pihak lain kerana ia membabitkan jumlah kewangan yang besar.
“Saya bimbang dengan ‘godaan’ duit apabila sudah terlalu banyak. Ia bukan ujian ringan tetapi berat kerana sebagai manusia biasa, kita tidak sempurna dan dibimbangi wujud perasaan lain di hati.
“Daripada niat saya murni untuk bina madrasah itu, disebabkan duit yang dah ‘berkepuk’ banyak dalam akaun tiba-tiba, ia sangat bahaya, jangan main-main. Jadi, saya tak boleh terimanya.
“Jadi, biarlah saya cuba buat dahulu (bina madrasah dirancang) kerana ingin memenuhi impian emak saya (Rohaizah Abdul Latiff, 77) untuk amal jariahnya serta bekalan di akhirat yang diinginkan,” katanya.
Sebelum ini, Nabil membuat luahannya agar perancangan membina madrasah untuk anak-anak yatim belajar tahfiz itu dapat disiapkan segera dan boleh beroperasi tahun depan.
Menurutnya, anggaran kos pembinaan bagi madrasah berkenaan dijangka menelan belanja kira-kira RM500,000, termasuk harapannya agar urusan pembinaan berjalan lancar sebagaimana dirancang.
Difahamkan sebaik madrasah itu siap, selain memiliki bangunan menempatkan anak-anak yatim belajar agama, turut disiapkan juga adalah asrama serta kediaman ustaz-ustaz yang mengajar di situ nanti.