Kuala Lumpur: Kumpulan syarikat KRU melakar satu lagi detik bersejarah apabila diberi kepercayaan, peluang dan sokongan penuh Universiti Teknologi Mara (UiTM) dengan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU).

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif KRU Studios, Datuk Norman Abdul Halim, 53, berkata, MoU itu membabitkan UiTM menerusi Fakulti Filem, Teater dan Animasi dengan KRU Entertainment Sdn Bhd, mewakili kumpulan syarikat KRU.

“MoU ini mencerminkan komitmen strategik yang membabitkan tujuh fakulti UiTM secara keseluruhannya. Ini termasuk Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Fakulti Sains Komputer dan Matematik, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan, Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka serta Fakulti Muzik.

“Kerjasama ini sekali gus membuka lembaran baharu dalam hubungan erat kami yang sudah terjalin sejak 2018,” katanya menerusi sebuah hantaran di Instagram.

Norman berkata, berbeza daripada inisiatif terdahulu, kerjasama kali ini menumpukan kepada pendekatan production-based education apabila pensyarah dan penuntut tahun akhir terbabit secara langsung dalam pelbagai aktiviti industri merangkumi pelancongan, teknologi, latihan kemahiran, media dan hiburan.

“Setiap fakulti akan terbabit secara langsung dalam pelbagai aktiviti industri merangkumi pelancongan, teknologi, latihan kemahiran, media dan hiburan. Setiap fakulti juga akan bekerjasama dengan entiti perniagaan di bawah kumpulan syarikat KRU dengan hasil yang boleh diukur (measurable outcomes) setiap tahun.

“Kami yakin kerjasama ini mampu memberikan impak yang besar dalam usaha memperkukuh sektor-sektor strategik negara khususnya industri kecil, teknologi, kebudayaan dan pelancongan,” katanya.

Pada masa sama, kata Norman, pihaknya juga menzahirkan penghargaan kepada Perbadanan Putrajaya atas kepercayaan yang diberikan kepada mereka untuk menceburi industri hospitaliti dan pelancongan sejak dua tahun lalu.

“Terima kasih juga kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan Landasan Lumayan Sdn Bhd, anak syarikat Perbadanan Menteri Besar Selangor atas sokongan padu dalam menjayakan pelbagai inisiatif yang akan dilancarkan tidak lama lagi,” katanya.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *