Kuala Lumpur: Pelawak veteran, Sathia memberitahu, tiga jari kaki kirinya bermula daripada ibu jari akan dipotong pada hari ini akibat jangkitan kuman.
Sathia atau nama sebenarnya Sathivel Periasamy, 60, berkata, dia dimasukkan ke Hospital Ampang sejak lima hari lalu dan perlu berpuasa sebelum proses pemotongan jari dibuat.
“Saya nak cakap pun tak boleh kerana lemah puasa,” katanya ringkas. Terdahulu tular video TikTok ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid melawat Sathia yang sedang menerima rawatan di hospital terbabit.
Menerusi keterangan video, Syerleena memaklumkan ibu jari kiri Sathia terkena jangkitan kuman dan perlu dipotong kerana sekiranya tidak dipotong akan merebak ke seluruh bahagian badan.
Syerleena juga tidak mahu terlalu lama berbual dengan Sathia kerana bimbang mengganggunya tetapi pelawak terbabit sempat bergurau mengatakan masalah yang dihadapinya kecil sahaja dan dia boleh bermain bola sepak.
Syerleena juga menghulurkan sumbangan peribadi kepada Sathia sebelum beredar.
Menerusi ruangan komen, netizen melahirkan perasaan simpati terhadap Sathia dan mendoakan agar dia cepat sembuh.