Kuala Lumpur: Komposer dan penyanyi, Loca B, 33, mengambil pendekatan ‘move on ‘ daripada kemelut perhubungan dengan keluarga mentuanya yang hangat diperkatakan sebelum ini.

Loca atau nama sebenarnya, Nabilah Hani Azali berkata, apa yang berlaku dulu sudah selesai dan sekarang dia hanya mahu fokus pada menjaga anak-anak dan keluarga sendiri saja.

“Saya tak mahu lagi memikirkan kemelut itu (dengan keluarga mentua) sebab sudah ‘move on’. Saya juga sekarang ada kehidupan baharu dan lebih baik fokus menjaga anak-anak dan masa depan mereka.

“Bagaimanapun, saya tetap doakan yang terbaik untuk semua orang supaya kita sentiasa bermuhasabah diri, termasuk memastikan kesihatan mental, fizikal dan emosi tidak terganggu,” katanya

Terdahulu, Loca ditemui hadir pada sidang media program realiti TV, The Chosen One Xtra dan pelancaran drama Jutawan Ekpress.

Dalam pada itu, Loca memaklumkan kemelut yang berlaku dengan keluarga mentuanya adalah satu ujian dalam kehidupan yang tidak boleh dielak kerana sudah ditentukan oleh Tuhan.

“Saya tak nafikan perkongsian yang dibuat dalam media sosial itu disebabkan sudah hilang sabar selepas bertahun-tahun lamanya memendam rasa.

“Terlalu banyak sebenarnya perkara yang berlaku dalam hidup saya ketika itu dan harus diselesaikan. Kalau nak cakap lebih-lebih nanti memang jadi emosi dan saya pilih berdiam,” katanya.

Loca B berkata, mungkin juga sudah bertahun-tahun dia menyimpan rasa kecewa dan sedih dalam hati, maka ia diluahkan kerana apa yang diinginkannya adalah mahu teruskan hidup seperti biasa.

Mengakui suaminya, Tuju atau Mohd Azree Shah Awang Zamree, 29, juga mengetahui kemelut yang berlaku, Loca B berkata, dia tetap beruntung kerana sentiasa mendapat sokongan daripada Tuju.

“Suami memahami situasi sebenar yang berlaku. Malah, dia pun sentiasa di sisi saya (beri sokongan), walaupun tidak lantang bersuara.

“Bagi saya, apapun dia sudah melakukan yang terbaik dan yang penting, dia juga tahu perkara sebenar, termasuk tindakan saya membuat hantaran di media sosial itu,” katanya.

Pada Februari lalu, Loca B meluahkan rasa tidak puas hati terhadap ibu mentuanya kerana mendakwa pernah melakukan penipuan dengan mencuri hasil kerja kerasnya ketika hamil anaknya, Bintang Aiko.

Loca B mendirikan rumah tangga kali kedua dengan Tuju pada Mac 2021 dan mereka kini memiliki seorang cahaya mata, Bintang Aiko, 3.

Selain itu, Loca B juga mempunyai seorang anak lelaki, Yusuf Alexander yang berusia sembilan tahun menerusi perkahwinan pertamanya.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *