Nama Gretchene Quirina mungkin baharu dalam industri muzik arus perdana, namun penyanyi kelahiran Sabah ini sudah lama bergiat dalam dunia nyanyian sejak tahun 2018.

Bermula secara kecil-kecilan melalui persembahan di kafe dan busking, Gretchene akhirnya membuat keputusan untuk melangkah serius ke dalam industri hiburan pada tahun 2025.

Single sulungnya, Aku Bodoh, mengetengahkan genre balada dan menyentuh tema cinta toksik. Lagu ini dirakam di Jakarta pada hujung 2024 bagi mendapatkan elemen kesedihan atau ‘galau’ yang lebih kuat dan autentik.

“Di sana, genre galau sangat dominan dan kualiti muzik mereka tinggi. Sebab itu kami pilih Jakarta,” katanya.

Liriknya ditulis oleh Ryenald Guntabid dan Melakaboy dan digubah bersama Sa.tugram, Aku Bodoh menyampaikan kisah seseorang yang sukar melepaskan cinta yang menyakitkan.

Walaupun bukan ciptaan sendiri, Gretchene mengakui lagu itu sangat dekat dengan dirinya.

“Saya pernah lalui hubungan selama empat tahun yang penuh manipulasi dan penderaan. Walaupun dah dua tahun berpisah, kesannya masih ada,” katanya.

Lagu ini bukan sekadar luahan emosi, malah menjadi ruang buat Gretchene menyampaikan mesej kesihatan mental.

“Bukan semua orang ada kekuatan untuk jumpa pakar. Saya pilih menulis dan menyanyi untuk pulihkan diri. Harapnya lagu ini boleh bantu orang lain juga,” katanya.

Menariknya, Aku Bodoh turut menyelitkan elemen Bahasa Dusun sebagai tanda penghargaan terhadap identiti dan warisan budayanya.

“Saya mahu orang tahu saya dari Sabah. Lagu ini juga cerminan diri saya,” katanya.

GRETCHENE juga sedang bekerjasama dengan penyanyi seperti Elica Paujin dan komposer terkenal Indonesia, Ade Govinda.
GRETCHENE juga sedang bekerjasama dengan penyanyi seperti Elica Paujin dan komposer terkenal Indonesia, Ade Govinda.

Kini, lagu ini bukan sahaja dimainkan di Malaysia, malah turut dipromosikan di Indonesia bahkan sudah mula disadur (cover) oleh pempengaruh dari negara itu.

Ini sekali gus membuka peluang lebih besar buat Gretchene mengembangkan karier ke negara jiran.

Dalam masa terdekat, Gretchene bakal tampil dalam dua persembahan besar bersama kumpulan Nidji pada Oktober dan satu persembahan khas sempena Glenn Fredly Holographic Performance Live In Malaysia 2025 bersama The Bakuucakar.

“Sekarang saya sedang mendalami lagu-lagu Glenn Fredly dan berpeluang buat siaran langsung bersama isterinya, Mutia Ayu,” katanya.

Walaupun belum pernah menyertai mana-mana program realiti secara rasmi, Gretchene tidak menolak kemungkinan menyertai pertandingan besar seperti Anugerah Juara Lagu.

Gretchene juga sedang bekerjasama dengan penyanyi seperti Elica Paujin dan komposer terkenal Indonesia, Ade Govinda, selain menulis lagu-lagu baharu yang masih belum dikeluarkan.

“Saya tak mahu hadkan diri. Saya mahu dikenali di Malaysia, Indonesia dan Singapura. Di mana-mana pun, asalkan orang boleh faham cerita saya,” katanya.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *