KUALA LUMPUR: Dalam tempoh dua tahun, nama bakat pelapis ini mula meniti di bibir peminat, termasuk penggerak industri kreatif tempatan.

Wajah Zarif Ghazzi semakin kerap muncul di layar kaca dan penstriman digital, lantas, memberi petanda laluan terbuka luas untuk jejaka ini bertapak dalam belantara seni.

Wajah Zarif semakin kerap muncul di layar kaca dan penstriman digital. Foto IG Zarif Ghazzi
Wajah Zarif semakin kerap muncul di layar kaca dan penstriman digital. Foto IG Zarif Ghazzi

Namun, siapa sangka semua ini bermula daripada satu keputusan berani, iaitu menerima watak yang mengundang risiko, namun, akhirnya, membuka banyak pintu rezeki buat anak muda ini.

“Saya tidak pernah jangka secepat ini, tetapi, saya percaya kepada rezeki. Semua ini doa ibu dan keluarga, selebihnya usaha saya sendiri.

“Sebelum ini, saya sudah mula dikenali menerusi drama rantaian Seribu Tahun, tetapi, watak lelaki gay itu beri impak besar. Saya kaji watak itu dalam-dalam supaya karakter disampaikan dengan jujur… Ternyata ia berhasil,” katanya kepada BH Online.

Berkongsi perkembangan terkini, Zarif atau nama sebenar, Zarif Farahi Effie Ghazzi, 21, memberitahu, tawaran lakonan padat hingga awal tahun depan. Tidak cukup itu, Zarif banyak menjalin kolaborasi bersama pelbagai jenama atau produk.

Lebih mengujakan apabila bakat seninya itu mula mendapat perhatian syarikat produksi Indonesia.

“Saya masih belajar mengenai selok belok dunia hiburan. Tetapi, Alhamdulillah, tawaran masuk tanpa henti. Paling menarik, saya baru pulang dari penggambaran di Indonesia.

“Ini pengalaman pertama bekerja dengan produksi luar negara. Cuma untuk projek terbaharu ini, ia sangat mencabar buat saya.

“Mencabar kerana banyak babak dirakam menggunakan teknik ‘blue screen’ di mana kita perlu pastikan posisi sentiasa tepat.

“Bayangkan 80 peratus penggambaran dilakukan dalam studio. Saya kena tahu ‘marking’ (tanda posisi) dan hafal setiap lokasi props. Tetapi saya anggap ini suatu proses pembelajaran,” tambahnya.

Mengulas mengenai kualiti pelakon pelapis, Zarif menamakan tiga kriteria iaitu sabar, adab dan yakin sebagai kunci utama dalam mengharungi ranjau dunia seni.

Populariti bukan segala-galanya buat Zarif. Apa yang lebih penting adalah sikap dan keinginan untuk terus belajar.

“Saya gembira lihat ramai pelakon baharu. Tetapi untuk kekal, saya pilih untuk terus jaga mutu lakonan dan elak kontroversi,” katanya yang berasal dari Johor ini.

Ditanya ada peminat sudah menggelarkannya hero pelapis, Zarif tidak cepat mendabik dada.

“Itu suatu penghormatan. Tetapi saya tahu, saya belum sampai ke tahap itu sepenuhnya. Masih banyak yang perlu dipelajari dan buktikan,” katanya merendah diri.

Bagi Zarif, sebagai anak seni, hidupnya sudah 50 peratus milik masyarakat. Maka, setiap langkahnya perlu berhati-hati.

“Saya selalu ingatkan diri, saya yang pilih jalan ini. Jadi, kena terima baik buruknya,” katanya.

Di sebalik jadual sibuk, Zarif tetap meluangkan masa untuk diri sendiri dan keluarga. Apabila tiada penggambaran, dia berkunjung ke pusat kecergasan atau pulang ke Johor bertemu keluarga sekalipun dalam tempoh singkat.

“Saya hendak jadi figura yang lengkap, bukan sekadar pelakon. Saya kena jaga penampilan juga,” katanya.

TRIVIA

Jika bukan pelakon, anda adalah:

Saya mungkin jadi doktor.

Haiwan peliharaan atau kesayangan : Kucing

Makanan/minuman kegemaran :

Suka ayam gepuk dan air kosong,

Hobi:

Main bola, sukan tinju dan angkat berat. Saya suka muzik dengan bermain gitar dan piano.

Pelakon pujaan :

Sejak dahulu lagi saya minat dengan Shukri Yahaya.

Gaya pemakaian :

Saya selesa berpakaian kasual.

Prinsip hidup :

Sentiasa hormat ibu bapa, rakan sekerja dan hargai semua pihak yang bantu kita. Insya-Allah, semuanya akan diatur baik dan tanpa masalah.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *