Midnight Fusic bakal mencipta sejarah tersendiri menerusi konsert solo pertama mereka berjudul Midnight Fusic Forevermore 2025 yang dijadual berlangsung pada 14 September depan di Zepp Kuala Lumpur.
Konsert itu bukan sekadar persembahan pentas, malah turut menjadi simbolik ulang tahun ke-10 penubuhan kumpulan yang dianggotai Arif Kamarudin (penyanyi), Adrian Danial (gitar), Firdaus Azmi (bass) dan Muaz Rabbani (dram) ini.
Sejak ditubuhkan pada 2013, Midnight Fusic tampil dengan gaya muzik tersendiri yang menggabungkan elemen rock alternatif dan pop moden, menjadikan mereka antara kumpulan paling menyerlah dalam kalangan peminat muzik arus perdana dan alternatif.
Tahun lalu menyaksikan mereka tampil di pelbagai acara seperti Riuh, MLBB 8th Anniversary Music Party dan Last Dinosaurs: Live in KL.
Mereka juga membawa nama negara ke Korea Selatan menerusi Incheon Record Platform dan Newtro Rhythm Global Music Tour 2024.
Sebelum ini, mereka turut beraksi di We The Fest, Indonesia dan Baybeats, Singapura serta menjadi pembuka kepada LANY dan Boys Like Girls ketika konsert di Kuala Lumpur.
Kemunculan semula mereka tahun ini diperkukuh dengan pelancaran EP Modus Operandi pada 23 Mei lalu selepas kejayaan album ‘self-titled’ pada 2021 dan lagu Sandiwara yang memperkenalkan mereka dalam arena muzik berbahasa Melayu.

Pengarah Urusan OYOLLO ASIA, Kenny Wong berkata, konsert ini lebih daripada sekadar persembahan kerana ia meraikan bakat, kreativiti dan perjalanan 10 tahun kumpulan tempatan yang berpotensi besar di peringkat antarabangsa.
“Sebagai sebuah syarikat tempatan, kami bersemangat menyokong bakat muzik generasi akan datang. Midnight Fusic mewakili generasi baharu yang berani, berbakat dan mempunyai potensi global,” katanya.
Sementara itu, Arif berkata, konsert itu adalah lembaran baharu buat Midnight Fusic dan peluang untuk berhubung lebih dekat dengan peminat.
“Konsert ini bukan sekadar gig biasa. Saya tidak sabar untuk berada dalam satu ruang dengan peminat kami, berkongsi emosi dan perjalanan yang sudah kami lalui bersama.
“Kami menyusun senarai lagu dengan jalan cerita. Ia akan membawa penonton menyusuri kenangan dan dalam masa sama menampilkan sisi baharu Midnight Fusic,” katanya.
Bukan itu saja, mereka turut melahirkan rasa terharu kerana dapat menyambut detik bersejarah ini bersama peminat yang sentiasa menyokong sejak awal.
“Kami sangat teruja dan bersyukur dapat meraikan detik bersejarah ini dengan peminat yang sentiasa ada bersama kami sejak mula. Konsert ini adalah untuk mereka,” katanya.