PEMILIK suara unik juga pemenang program realiti, 3 Juara, Kudien Rafee pernah mengalami serangan tonsil (tonsillitis) teruk hingga mengubah lontaran suara asalnya kepada nyanyian serak dan nyaring ketika ini.
Hampir menjalani pembedahan, namun peti suaranya dapat diselamatkan menerusi pengambilan ubat berterusan ketika berusia 18 tahun. Suara sedia ada ketika itu bertukar kepada mirip kepada Azlan Typewriter yang ‘rare’.
Bagi Kudien atau nama sebenarnya, Muhammad Ariffuden Mohd Rafee semua itu rahmat tersembunyi berikutan suara serak basah dan nyaring berkenaan membolehkan dia terjebak dalam dunia nyanyian secara serius dengan menyertai pelbagai pertandingan termasuk Akademi Fantasia (AF) dan Mentor.
Namun, semua penyertaan tidak ‘melekat’ akibat tersingkir sehingga dia hampir berputus asa menyertai mana-mana program realiti TV.
Bagaimanapun, dorongan dan galakan ibunya supaya dia menyertai program 3 Juara akhirnya membolehkan namanya melonjak di persada seni tanah air.
Menurut Kudien, dia kini aktif mengadakan persembahan pentas termasuk majlis makan malam korporat dan jemputan dari pelbagai pihak di seluruh negara dengan terbaru di Melaka.
“Saya turut menghasilkan single yang bertajuk Kau Insan Terpilih ciptaan Awang BPR dan lirik Dr Azam Dungun yang sudah dikeluarkan, namun akan dimantapkan semula untuk lebih menarik.
“Sementara single kedua bertajuk Ego yang bakal terbit akan memberi nafas baharu kepada perkembangan karier saya. Saya berharap kedua-dua single berkenaan akan terus meletup dan melonjak kembali nama Kudien di pasaran seni,” kata anak bongsu daripada tiga beradik ini.
Dia mengakui sedikit tenggelam selepas bergelar juara kategori rock 3 Juara, namun nekad tampil lebih drastik dengan jenama dan kekuatan sendiri selepas ini biarpun terpaksa bersaing dengan artis ternama.
Apa yang penting dia perlu sentiasa tampil dengan corak persembahan mantap dan bertenaga menerusi lontaran suara padu bagi menempatkan diri sebaris artis terkemuka tanah air.

Kudien berkata, selepas mencipta nama di pentas 3 Juara dia menetap di Kuala Lumpur selama dua tahun, dia kembali ke Johor Bahru bagi memudahkan dirinya memulakan langkah agresif di persada muzik Malaysia.
Apapun, ramai yang tidak tahu penyanyi berasal dari Majidee, Johor Bahru itu sudah berlakon dua filem iaitu Maharaja Bomoh dan Batu Syaitan yang masih belum ditayangkan kepada umum.
Katanya, pada mulanya penerbit mahu menggunakan suaranya dijadikan latar lagu filem berkenaan, tetapi akhirnya turut ditawarkan berlakon bersama Yassin Senario dan Datuk Jalaludin Hassan.
Kudien berkata, Allahyarham Saleem Iklim adalah idolanya kerana setiap kali persembahan, dia akan menyanyikan lagu penyanyi Iklim itu.
Begitu juga dengan Datuk Awie dan Datuk Nash Lefthanded yang sentiasa menjadi panduan buatnya untuk tampil dalam dunia nyanyian.
Malah, terbabit dalam Konsert Wings & Superfriends di Istana Budaya, Kuala Lumpur beberapa tahun lalu sehingga berjaya menarik perhatian ramai.
Kudien menganggap konsert berkenaan antara persembahan terbaiknya selain teruja berganding bersama idolanya serta Datuk Hattan.
Ditanya mengenai keupayaannya mengekalkan suara bernada tinggi, Kudien berkata, tiada apa-apa rahsia, malah dia tidak pernah pantang menjamah apa-apa jenis makanan, namun dia mengamalkan tidur awal setiap malam.