Kuala Lumpur: Pelakon kelahiran Malaysia yang mencipta nama di Hollywood, Henry Golding, 38, bangga apabila idea cerita rakyat Hang Tuah dimasukkan dalam filem baharu lakonannya berjudul The Old Guard 2 yang ditayangkan di Netflix.
Henry dalam satu temubual berkata, pengarahnya, Victoria Mahoney menerima baik cadangannya memilih nama Tuah untuk watak dibintanginya selepas melakukan penilaian terhadap beberapa nama.
“Dia ada beberapa cadangan nama lain dan meminta pandangan saya terhadapnya. Kemudian, nama Tuah adalah yang paling menonjol sebenarnya. Dalam cerita rakyat Malaysia, ada kisah mengenai Hang Tuah.
“Saya fikir ia jadi lebih masuk akal dengan elemen hidup abadi dan berkelana satu dunia itu. Dan di Malaysia, dia adalah satu daripada hero teragung cerita rakyat. Saya percaya nama itu tepat,” katanya.
Henry turut seronok dapat menerapkan beberapa elemen budaya tempatan dalam filem itu seperti penggunaan keris. Dia terharu apabila pengarah terbuka untuk mengguna pakai ideanya.
“Justeru, kami menyuntik beberapa elemen budaya Malaysia seperti keris. Keris datang dari silat yang juga seni pertahanan diri di Asia Tenggara khususnya di Indonesia dan Malaysia.
“Saya gembira apabila Victoria sangat-sangat terbuka untuk bekerjasama dalam perkara itu. Ia juga memberikan elemen lebih peribadi terhadapnya. Memang mengujakan apabila dapat membawakan cebisan siapa diri saya dalam watak itu,” katanya.
Selain Henry, The Old Guard 2 turut menampilkan lakonan Chalize Theron, Uma Thurman, Kiki Layne, Veronica Ngo, Matthias Schoenaerts, Chiwetel Ejiofor, Marwan Kenzari dan Lucas Marinelli.