Kuala Lumpur: Pelakon jelita, Elisya Sandha berkongsi detik mengalami kemurungan selama dua minggu selepas melahirkan anak kedua, Bahtera Elhaq, Mei lalu.
Elisya berkata, kemurungan itu berpunca daripada jangkitan pada luka pembedahan, lantas menjadikan fasa berpantang cukup mencabar.
“Pengalaman berpantang kali ini sukar dijelaskan. Saya sangat sedih dan ‘down’. Jangkitan pada luka itu menyebabkan keadaan saya menjadi tidak tentu arah.
“Sakit kepala, bergerak ke kiri, salah dan ke kanan, salah. Semuanya serba tidak kena hingga saya alami kemurungan.
“Tetapi saya bersyukur kerana ada sistem sokongan yang sangat kuat daripada suami dan keluarga. Alhamdulillah, sebaik habis pantang, saya berjaya dapat kembali semangat,” katanya yang ditemui pada majlis tayangan filem Citra Apartment di sini, baru-baru ini.
Elisya mengakui bertuah memiliki ibu mentua yang sangat prihatin, iaitu pelakon dan penerbit terkenal, Sheila Rusly yang banyak membantu sepanjang tempoh berpantang.
“Ibu mentualah yang menjaga pemakanan sepanjang saya berpantang. Dia pastikan saya makan dan pantang dengan betul. Kalau saya tak lalu makan, dia akan risau,” katanya.
Namun, Elisya memilih tidak berkongsi masalah kesihatan dengan ibu kandung atau mentua kerana tidak mahu membuatkan mereka risau.
“Saya hanya beritahu suami kerana dia bersama saya setiap hari dan tahu keadaan sebenar saya,” katanya.
Berkongsi mengenai lakonannya dalam filem seram, Citra Apartment, Elisya teruja kerana itu adalah filem pertamanya.
Walaupun mengakui penakut, tetapi dia terima tawaran penerbit demi mencabar diri.
Selain Elisya, filem arahan Amor Rizan dibintangi Liang Chia, Razdan Shamsudin, Hanna Halim,J ohn Tan dan Rashid Jaafar.
Filem Citra Apartment mengisahkan tiga rakan terperangkap dalam sebuah apartmen terbiar. Pelbagai kejadian aneh dan menakutkan menimpa mereka ketika sesi fotografi.
Tiga sahabat ini terperangkap dalam gelong waktu yang menakutkan, di mana mereka mengalami kematian berulang kali.