Kuala Lumpur: Pelakon dan penyanyi jelita, Bella Astillah mengakui dirinya berada dalam fasa bahagia menjalin persahabatan erat dengan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, 32.
Bella atau pemilik nama sebenar Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, 31, meluahkan rasa syukur dikurniakan kenalan yang mampu memberi ketenangan jiwa.
“Saya sangat bahagia mengenali Saddiq. Dia seorang lelaki ‘green flag’,” katanya menerusi podcast bersama adiknya, Didi Astillah dan abang kepada Syed Saddiq, Syed Abdullah.
Kata Bella lagi, keperibadian Syed Saddiq seolah-olah refleksi dirinya dalam bentuk seorang lelaki.
“Saya rasa bila saya jumpa YB Syed Saddiq dan tengok dia, saya seperti jumpa lelaki versi Bella Astillah,” luah pelantun lagu Lebih Indah Berpisah itu.
Pasangan ini pernah menarik perhatian ramai apabila muncul bersama dalam beberapa kempen jenama pakaian tempatan dan kolaborasi muzik video Tapi Bukan Denganmu, sekali gus mencetuskan fenomena digelar ‘BASS’ oleh peminat.
Tidak hanya itu, mereka juga didakwa netizen memiliki wajah seiras dan sangat serasi sekali gus hubungan mesra dijalin mereka seolah ‘direstui’ ramai.
Bella dan Syed Saddiq juga menjadi sorotan ramai apabila hubungan rapat mereka direstui rakyat Malaysia, selain semua foto dan video mereka bersama tular serta ‘trending’ di media sosial.
Untuk rekod, Syed Saddiq masih bujang, manakala Bella adalah ibu tunggal dua cahaya mata, Mohamed Ayden Adrean, 8, dan Ara Adreanna, 5, selepas bercerai pada 12 Jun tahun lalu.