Band indie tempatan yang semakin mencuri perhatian, Dukes, kembali menyentuh jiwa pendengar dengan single terbaharu berjudul Bila Kau Datang Menangis.

Naskhah ini mengangkat tema keinsafan, harga diri dan keberanian untuk keluar daripada hubungan yang tidak adil.

Ia adalah buah tangan kelima Dukes bersama Alternate Records, hadir dengan sentuhan pop rock moden yang lebih matang dan peribadi.

Nukilan Rayyan Razzaq dan Hazim Osman, serta digubah sepenuhnya oleh ahli kumpulan Dukes sendiri, Bila Kau Datang Menangis membawa naratif seorang lelaki yang sering menjadi ‘tempat singgah’ bagi seorang perempuan, tetapi hanya ketika dia sedang berduka.

Akhirnya dia bangkit dan memilih untuk melepaskan hubungan yang tidak lagi memberinya ruang untuk dihargai.

“Lagu ini kami dedikasikan untuk sesiapa saja yang pernah rasa jadi ‘pilihan kedua’ dalam sesuatu hubungan. Ia bukan sekadar luahan, tapi juga satu penguat semangat untuk belajar menghargai diri sendiri. Dengarkan lagu ni dengan hati terbuka, kami yakin anda akan rasa sesuatu,” kata Dukes.

Menurut Dukes, lagu ini sangat menguji keupayaan mereka sebagai pemuzik.

“Lagu ini mencabar kami daripada segi teknikal dan emosi. Ia memerlukan kami menyampaikan muzik dengan cara yang belum pernah kami lakukan sebelum ini. Kami benar-benar perlu keluar daripada zon selesa dan memberikan sepenuh jiwa dalam setiap nota dan lirik,” tambahnya lagi.

Lagu Bila Kau Datang Menangis turut mendapat sentuhan Taja, anggota kumpulan Meet Uncle Hussain yang pernah menghasilkan lagu-lagu hits seperti Pokok dan Lagu Untukmu.

Ini adalah kolaborasi pertama Dukes bersama Taja dan ia membuka peluang untuk mereka teroka muzik dengan cara yang lebih segar.

“Dengan bimbingan Taja, kami dapat meneroka susunan muzik yang lebih matang dan dinamik. Lagu ini juga membawa naratif yang lebih peribadi dan realistik, sesuatu yang kami rasa lebih dekat dengan pendengar,” katanya.

Bila Kau Datang Menangis hadir sebagai sebuah karya yang diharapkan mampu menyentuh hati pendengar, khususnya mereka yang pernah merasai perasaan yang sama.

Lebih daripada sekadar lagu cinta, ia ialah suara untuk mereka yang mencari makna, kekuatan dan kejujuran dalam emosi.

Dukes dianggotai vokalisnya, Ziggy, Rayyan (gitar), Jimbo (gitar), Umar (bass) dan Cheng (dram).

Bila Kau Datang Menangis menjadi antara karya penting dalam perjalanan seni Dukes, membuka lebih banyak ruang untuk kumpulan ini terus berkembang dalam industri muzik tempatan.

Lagu ini kini boleh distrim di semua platform digital termasuk Spotify, Apple Music dan YouTube! Dengarkan dan hayati lagu ini dengan hati terbuka kerana kadang-kadang, melepaskan adalah bentuk cinta terbaik untuk diri sendiri.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *