Kuala Lumpur: Kumpulan 4U2C mahu meneruskan projek WE 4U2C Live In Concert biarpun berdepan isu hak cipta lagu dengan komposer, Man Senoi dan isteri, Mama Rap.
Anggota 4U2C, Yanz berkata, isu dibangkitkan Man Senoi tidak mengganggu konsentrasi mereka mementaskan konsert mega yang dirancang di Idea Live Arena, Petaling Jaya, pada 15 September depan.
“Bagi saya, tiada perkara yang mengganggu fokus kami untuk menjayakan konsert kali ini.
“Apa yang mahu dilakukan sudah jelas. Kami fokus mempersiapkan diri sahaja. Sekarang kami sedang giat berlatih dan mempersiapkan konsep persembahan.
“Apa yang pasti, 4U2C tetap teruskan konsert seperti dirancang,” katanya ketika dihubungi BH Online di sini, hari ini.
Semalam, Man Senoi dan Mama Rap dilapor mendakwa hak cipta lagu 4U2C adalah milik mereka, namun, baik Man Senoi dan isterinya, masing-masing tidak dimaklumkan mengenai penganjuran konsert itu.
Man Senoi turut dilapor mempersoalkan bagaimana kumpulan berkenaan hendak mengadakan konsert jika 25 lagu dinyanyikan adalah hak milik syarikat mereka, Zman Production.
Sementara itu, Yanz atau nama sebenar, Mohd Suffian Muda enggan mengulas lanjut mengenai dakwaan dibuat Man Senoi.
“Perkara itu saya tiada komen. Saya serahkan kepada syarikat pengurusan atau pihak yang lebih profesional untuk beri komen,” katanya.
Konsert WE 4U2C Live In Concert anjuran Juss Event akan menghimpunkan tujuh anggota 4U2C iaitu AC, Aren, Yanz, Rinz, Lanz, Charlie dan Azam.