Kuala Lumpur: Pemergian mengejut Penolong Pengarang Berita Hiburan Berita Harian (BH), Raja Nurfatimah Mawar Mohamed, semalam membekas dalam diri penyanyi dan penyampai radio, Haiza.
Mula mengenali arwah pada awal pembabitannya dalam bidang seni iaitu sekitar 1990-an, Haiza atau nama sebenar, Rohaizah Nordin, berkata Allahyarham bukan sahaja memiliki keperibadian mulia tetapi juga dikenali sebagai wartawan yang sangat menjaga penampilan.
“Bekerja dengan arwah sangat menyenangkan. Soalan yang diajukan pun mudah dijawab. Segelintir artis kalau nak jumpa wartawan, mesti ada perasaan berdebar sebab kita tak tahu soalan apa nak ditanya.
“Dengan arwah sangat berbeza. Kalau dia tanya pasal kerjaya, itulah yang akan dia fokus dan tak ada nak selit isu lain.
“Saya suka dengan imej beliau dan Raja Nurfatimah sangat menitikberatkan soal penampilan. Dari jauh lagi kita sudah boleh kenal terutama gincu merah yang menjadi identitinya.
“Kadang-kadang kita sebagai artis yang naik segan sebab nampak lebih comot daripada arwah,” katanya kepada BH Online.
Haiza menambah, arwah juga seorang yang peramah dan melayan semua selebriti tanpa ada perasaan pilih kasih.
“Biasanya kalau terjumpa dalam mana-mana majlis hiburan, dia yang akan datang untuk menyapa kita menyebabkan kita tak rasa dipinggirkan.
“Biarpun sudah punya nama besar dalam dunia kewartawanan, dia tetap merendah diri dan akan ajak kami untuk duduk sekali dengannya. Dia tak akan biarkan kami terkontang-kanting seorang diri,” ujar penyanyi Dag Dig Dug itu.
Ditanya nasihat yang pernah dititip Allahyarham kepadanya, penyampai Kool 101 itu memaklumkan, Raja Nurfatimah suka memberi kata-kata semangat sebagai panduan dalam melayari karier seni.
“Dia banyak beri motivasi pada saya terutama jika saya terbabit dalam program anjuran Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH).
“Kalau ada kata-kata kecaman, arwah suruh saya jalan terus sambil berpesan supaya tak ambil peduli kritikan negatif tidak membina yang dilemparkan,” kongsinya.
Semalam, Raja Nurfatimah dilapor meninggal dunia di kediamannya di Sungai Long, Kajang, selepas mengadu sakit dan sukar bernafas kira-kira jam 2 petang.
Pemergian Allahyarham yang memiliki lebih 30 tahun pengalaman dalam bidang kewartawanan dan cukup dikenali dalam kalangan pengamal industri seni, mengejutkan keluarga dan kenalan.
Jenazah Allahyarham dibawa ke kampung halaman di Kuala Terengganu, Terengganu dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Masjid Haji Kadir, Pasir Panjang, Kuala Terengganu jam 10 pagi tadi.