Sambutan teramat memberangsangkan terhadap dokumentari popular berbahasa Cina iaitu Jasmine Project Love menjadikan jenama itu antara program cukup besar makna buat saluran 8TV.

Ketua Pegawai Operasi, Filem dan Pengedaran Kandungan 8TV, Kevin Foo, berkata beberapa episod untuk musim keduanya saja berjaya mencecah lebih satu juta tontonan.

Justeru, sudah ada beberapa perancangan ke depan untuk kembangkan lagi program itu. Bukan sekadar untuk siaran di TV, namun mereka melihat prospek lebih jauh iaitu bantuan jangka panjang.

“Kami berharap pada musim akan datang dapat sampai ke Sabah dan Sarawak. Kami pasti ingin mencapainya. Bagi kami, program ini sangat bermakna jika dibandingkan dengan program lain.

“Ia adalah satu-satunya program yang kami rasa istimewa. Daripada begitu banyak program, program ini menonjol. Sebagai pengurus saluran, ia program yang sangat bermakna bagi saya.

“Kami menemui erti yang mendalam dalam program ini. Sesungguhnya, ia adalah satu-satunya program yang begitu bermakna buat kami,” katanya.

Walaupun belum ada kata putus, Kevin berharap musim ketiganya akan dapat direalisasikan. Dia melihat banyak manfaat tercetus daripada pelaksanaan program berbentuk kebajikan itu.

Dia sangat berterima kasih atas sumbangan orang ramai atas kejayaan musim keduanya yang bukan hanya menyumbangkan wang tunai. Tetapi, juga idea serta maklumat keluarga yang memerlukan bantuan.

“Sebenarnya, jika bertanya kepada saya, saya akan kata program ini melalui proses yang sangat sukar. Sejujurnya, terdapat banyak orang yang memerlukan bantuan sebegini.

“Kami hanyalah entiti kecil yang berusaha untuk memberikan bantuan kepada masyarakat. Jadi kami cuba melakukan penambahbaikan kerana kandungan kami tidak lagi hanya dipaparkan di televisyen.

“Oleh itu, kami mendapat banyak saranan dari masyarakat. Mereka yang memberitahu kami di mana keluarga yang memerlukan bantuan dan sebagainya. Kami dapat banyak bantuan dari mereka,” katanya.

Menerusi Tabung 8TV Project Love yang juga satu inisiatif di bawah Tabung Kemanusiaan Media Prima-NSTP, ia berjaya mengumpulkan hampir RM200,000 sumbangan daripada orang ramai.

Sumbangan itu disalurkan kepada 24 keluarga yang dipaparkan dalam program dokumentari popular berbahasa Cina iaitu Jasmine Project Love Musim Kedua yang bersiaran di 8TV.

DOKUMENTARI popular berbahasa Cina, Jasmine Project Love di saluran 8TV ada matlamat jangka panjang.
DOKUMENTARI popular berbahasa Cina, Jasmine Project Love di saluran 8TV ada matlamat jangka panjang.

Perkara itu dimaklumkan menerusi penganjuran majlis penghargaan istimewa yang menghimpunkan peserta program, pertubuhan kebajikan, barisan hos, rakan kongsi dan wakil media, baru-baru ini.

Jasmine Project Love Musim Kedua di 8TV melabuhkan tirainya dan lebih dari sekadar penutup musim, majlis itu diraikan sebagai penghormatan kepada semua paparan kisah yang sudah menyentuh hati ramai.

Majlis penghargaan berkenaan turut dihadiri Pengerusi Kumpulan, Media Prima Berhad, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid dan Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima, Rafiq Razali, Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima dan Primeworks Studios, Nini Yusof, serta Ketua Pegawai Eksekutif Jasmine Food, Dennis Foo.

Jasmine Project Love, terus mendekati orang ramai, termasuk golongan belia negara, sambil menyerlahkan kekuatan penceritaan yang malar segar merentas generasi.

Disokong sepenuhnya Jasmine Food dan rakan penaja Kawan Food, musim ini memaparkan 24 episod dengan barisan lapan hos iaitu Owen Yap, Chan Wei Wei, Desmond Tey, Tan Chia Yong, Ong Ching Yee, Jan Chin, Soh Chin Chuan dan Charlotte Seow.

Mereka menjelajah ke pelbagai pelosok negara untuk mengangkat kisah penuh nilai kemanusiaan yang mencerminkan cabaran hidup serta ketabahan rakyat Malaysia dalam menghadapi dugaan harian.

Pengisian program tidak hanya tertumpu di Lembah Klang, malah diperluaskan ke Negeri Sembilan, Perak dan Melaka bagi mengetengahkan realiti kehidupan masyarakat yang jarang mendapat perhatian.

Daripada kisah kanak-kanak bertarung dengan penyakit jarang jumpa hingga keluarga bergelut beban hidup, setiap episod membawa penonton menelusuri pengalaman yang menyentuh hati.

Sekali gus menyemai empati dan semangat keprihatinan.Sebagai tanda penghargaan atas sokongan di sebalik tabir, sesi penyampaian sijil turut diadakan kepada pelbagai pertubuhan kebajikan yang telah memberi sumbangan besar dalam menjayakan program ini.

Antaranya termasuklah Persatuan Penyakit Motor Neuron Malaysia, Persatuan Kebajikan Talian Hayat Kehidupan Malaysia, Kelab Kebun Komuniti Anak Istimewa P3KU, Prader-Willi Syndrome Association Malaysia, Persatuan Amal Indah, Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan Malaysia, National Stroke Association of Malaysia (NASAM), Cleft Lips and Palate Association of Malaysia, Beacon Life Training Centre, dan Suriana Welfare Society Malaysia.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *