Nama Shweta Sekhon, 28, semestinya masih terlalu baharu dalam bidang lakonan tanah air. Namun, yang pasti wanita jelita ini adalah penyandang gelaran Miss World Malaysia 2016.

Bagaimanapun, Shweta atau nama sebenar, Shwetajeet Kaur Sekhon baru-baru ini menarik perhatian ramai menerusi lakonannya dalam filem adiwira, Keluang Man arahan Anwari Ashraf sebagai watak Dr Malini.

Berbicara pandangannya terhadap kontroversi dan gosip yang dianggap lumrah kehidupan selebriti, Shweta berkata, dia tahu mengenai perkara itu dan akan berusaha cuba menjaga diri dengan baik.

“Sebagai wanita, saya melihat memang penting harus pandai menjaga diri, nama baik keluarga, termasuk akhlak kita.

“Jadi, saya sebolehnya mahu mengelak daripada terpalit kontroversi dan gosip Pada saya, jika suka saya dan nampak ada potensi pergi lebih jauh sebagai pelakon, saya sudah gembira dan bersyukur.

“Saya seboleh-bolehnya tidak mahu membina nama dalam karier seni ini dengan kisah berbaur kontroversi atau gosip kurang baik.

“Terutama, kalau ada yang nak ‘main-main’ cinta lokasi atau mempunyai agenda lain, saya akan mengelak diri dan maaflah,” katanya ditemui baru-baru ini.Menurut Shweta, dia juga seorang yang tidak suka melepak dan biasanya terus balik ke rumah selepas habis bekerja kerana lebih selesa meluangkan banyak masa dengan keluarganya.

“Bagi saya, lebih baik habiskan masa bersama keluarga di rumah, termasuk menghafal skrip untuk persediaan menjalani penggambaran seterusnya.

“Apatah lagi, saya juga buat masa ini masih solo dan tiada kekasih hati. Maka, tidak pernahlah rasa nak ‘flirt’ atau ada lelaki cuba mendekati saya walaupun di set penggambaran.

“Setakat ini, kawan-kawan pelakon lelaki memang tahu menjaga batas pergaulan mereka dengan saya. Boleh dikatakan semuanya baik-baik saja,” katanya.

Ujar Shweta lagi, sehingga kini dia tidak pernah diganggu oleh lelaki berstatus ‘hidung belang’ semua rakan lelaki dikenalinya sangat menghormati wanita.

Selain filem Keluang Man, Shweta sebelum ini pernah membintangi drama bersiri seperti Rajuk Katrina dan X-Change.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *