Kumpulan muzik popular, MASDO tidak mahu melepaskan peluang turut serta memeriahkan Festival Muzik OOO 2025 yang bakal berlangsung di Heritage Valley, Kuala Lumpur pada 1 Julai ini.
Festival itu bakal dijadikan sebagai medan ‘panas badan’ sebelum menjayakan konsert mega MASDO yang dijadualkan berlangsung pada 30 Ogos depan, sekali gus menandakan keraian sempena pembabitan satu dekad mereka dalam industri muzik tanah air.
Vokalis MASDO, Ali Sariah, 33, berkata, festival itu bukan sahaja menjanjikan pengalaman muzik luar biasa, tetapi menjadi peluang keemasan untuk kembali beraksi di hadapan peminat setia selepas sekian lama tidak membuat persembahan berskala besar.
“Kami teruja apabila ditawarkan untuk sertai Festival Muzik OOO 2025! kerana barisan artis yang terbabit pun bukan calang-calang.
“Daripada Noh Salleh, Bunga, Luqman Podolski, sehinggalah Zynakal, semuanya ada kekuatan tersendiri. Rugi kalau kami tak turut serta sebab festival ini bawa satu pengalaman berbeza,” katanya.
Ali atau nama sebenarnya Aliff Fahmi Bahtiar berkata, selain menyampaikan lagu-lagu popular mereka, MASDO juga akan membuat pengumuman khas buat peminat semasa festival itu berlangsung.
“Kami anggap ini sebagai pemanas badan sebelum berperang dengan konsert besar kami nanti.
“Insya Allah, ada pengumuman istimewa yang kami simpan khas buat peminat. Jadi, siapa yang datang nanti antara yang terawal tahu apa yang bakal berlaku Ogos ini,” katanya.
Dalam pada itu, Festival Muzik OOO 2025! anjuran OPPO dengan kerjasama Warner Music Malaysia menyajikan pengalaman muzik merentas genre seperti pop, hip-hop, indie dan rock, membariskan nama besar dalam industri hiburan tanah air.
Antara artis yang bakal menggegarkan pentas pada malam itu termasuk Bunga, TUJU, emptypage., Iman Troye, FUGO, Priscilla Abby, Jo Vynn, Steadygang dan Naki.
Bukan sekadar konsert biasa, festival ini menjadi pentas pelancaran rasmi siri telefon pintar baharu OPPO Reno yang menggabungkan muzik, teknologi dan gaya hidup dalam satu sambutan serba dinamik.
Menurut Pengarah A&R Warner Music Malaysia, Raqeem Brian, pihaknya menyifatkan penganjuran festival ini sebagai satu misi menghargai bakat-bakat luar biasa yang dimiliki artis tempatan.
“Kami teruja untuk bekerjasama dengan OPPO dalam menjayakan festival yang julung kali diadakan ini.
“Festival Muzik OOO 2025 bukan sekadar persembahan artis semata-mata, tapi perayaan budaya moden yang menyatukan muzik, kreativiti dan teknologi,” katanya.
Festival bakal berlangsung dari jam 6 petang hingga 11.30 malam menampilkan pelbagai pengalaman menarik untuk pengunjung seperti gerai makanan dan minuman serta pameran interaktif daripada jenama berkenaan.
Istimewanya, OPPO turut bekerjasama dengan Proton e.MAS menerusi siri digital khas berjudul Roda Karaoke iaitu video gaya carpool karaoke yang menampilkan artis terkenal tanah air.
Siri kandungan ini memberi peluang kepada peminat melihat sisi berbeza artis kegemaran mereka sambil memperkenal teknologi terkini kenderaan keluaran Proton e.MAS yang juga akan dipamerkan di festival berkenaan.
Dengan harga tiket serendah RM50, Festival Muzik OOO 2025! menjanjikan malam padat dengan hiburan, penuh warna dan tidak harus dilepaskan peminat muzik tempatan.