Kuala Lumpur: Pempengaruh dan pengulas makanan popular, Rhys William, atau lebih dikenali sebagai Rhys, mengejutkan pengikutnya apabila berkongsi pencapaian menakjubkan dalam perjalanan transformasi kesihatannya menerusi satu hantaran di Facebook, hari ini.

Menerusi hantaran itu, Rhys memaklumkan bahawa berat badannya kini turun daripada 135 kilogram (kg) kepada 93 kg, manakala peratusan lemak badan pula berkurang secara drastik daripada 40 peratus kepada hanya 13 peratus.

“Bukan satu perjalanan yang mudah, tapi satu perjalanan yang saya sendiri rasa sangat berbaloi kerana saya masih dapat menikmati makanan walaupun sedang berdiet. Ini pun saya berjaya capai walaupun hampir setiap minggu masih membuat video makan,” tulisnya.

Rhys, yang cukup dikenali menerusi kandungan video makan dan ulasan makanan tempatan di media sosial, turut menyatakan bahawa perubahan fizikal itu dicapai tanpa perlu mengorbankan sepenuhnya minatnya terhadap makanan.

Menurut Rhys, antara tip utama yang diamalkannya ialah untuk sentiasa konsisten, berfikiran jauh, dan tidak terlalu ekstrem dalam menjalani gaya hidup sihat.

“Tip saya mungkin kedengaran membosankan, kekal konsisten, fikir jangka panjang dan jangan ekstrem. Perlahan-lahan kayuh. Sikit-sikit, lama-lama jadi bukit. Perlahan tetapi mantap, dan jangan sesekali berputus asa,” tulisnya.

Hantaran itu menerima pelbagai reaksi positif daripada netizen yang rata-ratanya kagum dengan pencapaian Rhys serta terinspirasi dengan pendekatan yang dikongsikannya.

Malah, tidak kurang juga yang menyatakan keterujaan dan rasa hormat terhadap kesungguhan Rhys yang berjaya menurunkan berat badan secara sihat meskipun kerjayanya memerlukannya mencuba pelbagai jenis makanan hampir setiap minggu.

Dalam masa sama, Rhys turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua yang sentiasa memberi sokongan sepanjang perjalanannya dalam mengekalkan gaya hidup sihat.

Untuk rekod, Rhys antara pempengaruh bukan tempatan yang cukup dikenali di Malaysia menerusi saluran Mat Salleh Cari Makan, yang memaparkan pelbagai jenis makanan dan budaya tempatan yang diterokainya sejak menetap di sini lebih sedekad lalu.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *