Kuala Lumpur: Penyanyi dan pelakon wanita terkenal, Nabila Razali, 33, menjemput seluruh rakyat Kelantan ke majlis akikah putera sulungnya, Baby M, yang juga bersempena sambutan Aidiladha, di Franky Corner, Kota Bharu pada 7 Jun ini.
Nabila atau nama sebenarnya Nur Nabila Mohd. Razali, berkata, mereka sekeluarga ingin berkongsi kegembiraan dan kesyukuran dikurniakan zuriat lelaki yang menjadi pelengkap hidupnya dan suami, Nik Iruwan Nik Izani, 40.
“Alhamdulillah, Baby M adalah hadiah terindah dalam hidup saya dan suami. Menjadi ibu adalah fasa yang sangat mencabar tetapi juga sangat bermakna.
“Kami memilih 7 Jun ini sempena Hari Raya Aidiladha untuk mengadakan Majlis Akikah dan Kesyukuran sebagai tanda syukur dan berkongsi kegembiraan ini dengan peminat, saudara-mara dan penduduk setempat di Kelantan,” katanya.
Menurut penyanyi Raya Mana?, Nabila berharap majlis yang diadakan di kampung suaminya di Kelantan itu dapat meraikan anak sulung mereka serta mengeratkan silaturahim antara keluarga dan peminat dalam suasana harmoni.
“Saya dan suami amat berbesar hati sekiranya anda semua dapat hadir ke majlis ini.
“Bukan sahaja untuk meraikan Baby M, tetapi juga untuk mengeratkan lagi ukhuwah sesama kita dalam bulan yang penuh rahmat ini. Terima kasih atas doa dan kasih sayang yang tidak pernah putus,” katanya.
Untuk rekod, Nabila Razali selamat melahirkan anak lelaki sulungnya pada 23 Disember tahun lalu di pusat perubatan swasta di Lembah Klang.
Baby M dilahirkan dengan berat 3.1 kilogram dan dalam keadaan sihat sempurna.
Kehadiran zuriat pertama ini adalah detik paling bahagia dalam hidup pasangan itu yang melangsungkan perkahwinan pada 18 Disember 2023.