PENGHIJRAHAN Zack Kool juga bekas ahli kumpulan Kool yang menyertai tabligh diterjemah dalam lagu barunya yang bertajuk Rindu Kekasih sebagai antara usahanya menterjemahkan cintanya kepada Tuhan.

Baginya lagu terbabit satu pembaharuan selepas sekian lama dia terbabit dalam genre New Jack, Hip Hop, Rock dan pop, namun kali ini sedikit R&B yang menggabungkan unsur ketuhanan dan islamik.

Katanya, selepas lirik lagu yang tersimpan lebih setahun itu akhirnya akan direalisasikan dalam tempoh terdekat menggambarkan kecintaan kepada Yang Maha Esa biarpun lagu terbabit seperti merindui kekasih, namun maksud mendalam kepada Pencipta seluruh alam.

Jelasnya, dia kini dalam proses penghasilan video klip berkonsep islamik dan selepas siap ia akan diedarkan kepada stesen radio dan siaran yang lain untuk dipasarkan.

Baginya, hidayah yang diterima mengubah dirinya untuk belajar dan berubah ke arah lebih baik dalam kehidupan yang akhirnya diikuti ahli keluarga dan anak-anak.

“Alhamdulillah apabila saya berubah anak saya juga mendapat impaknya kerana dalam kalangan mereka mahu sekolah agama dan belajar di tahfiz. Selepas beberapa perkahwinan terdahulu saya akui perkahwinan ketiga ini akhirnya saya mendapat nikmat manisnya perkahwinan.

“Semua sekali anak saya tujuh orang hasil tiga perkahwinan dan ada juga antara mereka yang mengikut jejak saya dalam bidang seni apabila tamat pengajian di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) dan kini sedang mencari tapak dalam bidang berkenaan,” katanya.

Menurutnya, pada masa lapang dia akan keluar tiga hari atau lebih dalam bidang dakwah bersama jemaah tabligh dan jika tidak keluar dia sempat berlakon teater atau menyanyi.

Zack atau nama sebenar Zulkifli Mohamad yang tampil dalam Teater Bangsawan Sahmura Empayar Melaka minggu lalu dan Teater Tradisional Tun Fatimah Srikandi Melaka pada 13 hingga 15 Jun di Panggung Bangsawan mengakui kehadiranmu dalam bidang terbabit turut bertujuan memberi ilmu kepada bakat baharu terutama anak Pertubuhan Teater Melaka (Pertem).

Namun, baginya pelakon muda perlu rajin bertanya dan mencabar diri mereka sendiri untuk lebih menyerlah kerana dia sentiasa mencurah ilmu yang ada sepanjang pembabitannya serta pengalaman yang diperolehi ketika belajar di Aswara.

Zack yang mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan Tangga Batu, Sekolah Menengah Seri Tanjung dan Sekolah Menengah Kebangsaan Ghafar Baba, Melaka kini menjadi teraju persembahan teater bangsawan di bandaraya terbabit.

Dia yang tampil bersama pelakon popular teater negara ini diketuai Datuk Jalaludin Hasan, Neera Azizi, Ashraf Muslim, Julia Larica dan atlet silat Malaysia, Al Jufferi Jamari nyata menjadi idola pelakon muda.

Pertem sebelum ini menandatangani satu MOU kebudayaan bersama pihak Sriwana Singapura bagi menjalinkan Kerjasama dua hala di antara Malaysia dan Singapura dalam program kebudayaan pada persidangan Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI).

Justeru, Zack juga bersyukur menjadi pilihan penganjur dalam persembahan di Melaka yang turut menyasarkan kehadiran peminat teater dari seluruh negara serta peminat dari negara jiran.

Malah, pengalamannya yang pernah membintangi banyak drama dan filem termasuk GK3 The Movie, Lagenda Budak Setan 2: Katerina dan Roda-Roda Kuala Lumpur dan Polis Evo digunakan sebaik mungkin untuk persembahan mantapnya di pentas teater.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *