MUZIK adalah satu medium ekspresi universal yang merentas sempadan bahasa, budaya dan keupayaan fizikal.

Ia juga mampu menyampaikan mesej kemanusiaan, spiritual dan emosi dengan mendalam serta menyentuh hati.

Namun, komuniti Orang Kurang Upaya (OKU) sering terpinggir daripada menikmati sepenuhnya keindahan dan makna yang terkandung dalam persembahan muzik terutamanya penganjuran konsert sedia ada.

Konsert Malam Wakaf Rakyat 2025 (MAWAR 2025) anjuran Yayasan Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama Pusat Kebudayaan UKM dan Kengkawan Project adalah konsert pertama di Malaysia yang menerapkan bahasa isyarat secara menyeluruh sepanjang persembahan artis-artis terkemuka.

Menurut Timbalan Dekan Hal-Ehwal Jaringan Industri & Masyarakat, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Khairul Azhar Jamaludin, 38, konsert mesra bahasa isyarat itu bertujuan membuka ruang penyertaan aktif dan bermakna kepada komuniti OKU, khususnya golongan pendengaran, kerana tidak dapat menikmati pengalaman sosial dan seni budaya arus perdana.

“Konsert MAWAR 2025 mengambil langkah progresif dan signifikan dengan memperkenalkan penterjemahan bahasa isyarat secara langsung sepanjang keseluruhan program.

“Inisiatif ini bukan sahaja menjadikan seni persembahan lebih menyeluruh, tetapi juga membuka ruang yang meluas kepada golongan OKU untuk menikmati dan mendapat akses pengalaman seni secara menyeluruh.

“Usaha ini selaras dengan Dasar Orang Kurang Upaya Negara 2007, yang digubal berlandaskan prinsip perlindungan, promosi dan penghormatan terhadap hak serta maruah golongan OKU,” katanya.

Menurut Khairul, dasar ini juga menetapkan bahawa setiap individu OKU berhak menikmati peluang saksama dalam semua aspek kehidupan termasuk pendidikan, pekerjaan, dan budaya, tanpa diskriminasi.

“Penggunaan bahasa isyarat dalam konsert ini adalah satu tanda komitmen terhadap tanggungjawab sosial, keprihatinan budaya dan komitmen terhadap pembangunan yang inklusif dan menyeluruh.

“Bagi memastikan penterjemahan bahasa isyarat sepanjang Konsert MAWAR 2025 dapat dilaksanakan secara berkesan dan profesional, pihak penganjur telah mengambil inisiatif melibatkan pelbagai pihak yang berkepakaran dalam bidang komunikasi inklusif.

“Antara pihak yang terbabit adalah Unit Perkhidmatan dan Sokongan OKU (UPS-UKM), Persatuan Jurubahasa Isyarat Malaysia (MyASLI), serta Fakulti Pendidikan UKM (FPEND UKM),” katanya.

Khairul berkata, semua persembahan muzik dalam Konsert MAWAR 2025 akan disertakan dengan penterjemahan melalui pembantu komunikasi Bahasa Isyarat Malaysia (BIM), yang terdiri daripada pelajar Fakulti Pendidikan UKM (FPEND UKM) serta terlatih dalam bidang pendidikan khas.

“Penglibatan strategik ini adalah penting bagi mendapatkan panduan teknikal, latihan dan penglibatan jurubahasa isyarat serta pembantu komunikasi BIM yang bersesuaian dengan MAWAR 2025 itu.

“Justeru, beberapa pelajar yang boleh dikategorikan sebagai pembantu komunikasi BIM akan dilantik (selain Jurubahasa Isyarat Malaysia yang bertauliah) dalam menjayakan penterjemahan kandungan konsert ini secara langsung.

“Pendekatan kolaboratif ini turut menjamin ketepatan dan keaslian terjemahan mesej muzik dan naratifnya, malah mencerminkan kesungguhan pihak penganjur dalam memastikan penglibatan inklusif dan bermakna, selari dengan prinsip keterangkuman yang digariskan dalam Dasar Kebudayaan Negara dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 4 dan 10,” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, inisiatif ini turut membawa mesej seni muzik tidak seharusnya bersifat eksklusif kepada audiens tipikal sahaja, tetapi perlu diolah secara inklusif agar dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat, termasuk komuniti OKU.

“Dengan kehadiran jurubahasa serta pembantu komunikasi BIM secara langsung sepanjang konsert, golongan ini berpeluang untuk menghayati sepenuhnya mesej kehidupan, nilai spiritual dan kemanusiaan yang terkandung dalam setiap persembahan.

“Muzik, bagi komuniti OKU, bukan sekadar hiburan, malah ia adalah satu bentuk komunikasi emosi, refleksi diri dan pengiktirafan terhadap identiti budaya.

“Apabila diberikan akses terhadap persembahan muzik melalui penterjemahan yang ekspresif dan tersusun, mereka dapat merasai kekuatan mesej, memahami lirik dan turut serta dalam pengalaman kolektif yang menyentuh perasaan.

“Ini penting bagi meningkatkan kesejahteraan psikososial mereka dan membina rasa dimiliki dalam masyarakat,” katanya.

Dalam pada itu, pendekatan inklusif ini bukanlah sekadar inisiatif bersifat one off, tetapi satu usaha berterusan dan strategik untuk mentransformasi landskap penganjuran acara seni dan budaya ke arah yang lebih menyeluruh, adil dan berimpak sosial tinggi.

“Pihak penganjur komited untuk memastikan prinsip aksesibiliti dan keterangkuman menjadi teras dalam penganjuran program-program masa hadapan, sejajar dengan aspirasi Malaysia yang digariskan dalam Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN 2021) dan Dasar Orang Kurang Upaya Negara (2007).

“Langkah ini juga menyokong usaha UKM dalam merealisasikan komitmennya terhadap pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 10 (Mengurangkan Ketidaksamarataan), SDG 16 (Masyarakat Aman dan Inklusif) serta SDG 17 (Perkongsian untuk Matlamat).

“UKM sebagai universiti watan yang mendukung prinsip keilmuan dan tanggungjawab sosial, menyedari pelaksanaan program seperti Konsert MAWAR 2025 bukan sekadar memenuhi objektif seni, tetapi turut membawa misi pendidikan, kesedaran sivik dan advokasi hak komuniti yang terpinggir,” katanya.

Dalam konteks ini, bidang hiburan dan persembahan awam perlu dilihat sebagai ruang penting yang mampu mempengaruhi sikap masyarakat terhadap isu inklusiviti.

Justeru, usaha memperkenal dan menormalisasikan pendekatan mesra OKU dalam acara hiburan wajar diperluaskan dan disokong secara sistematik.

Konsert MAWAR 2025 menjadi titik permulaan kepada pembudayaan norma baharu dalam penganjuran acara yang bukan sahaja mendidik, tetapi juga menyatukan semua, merentas batas fizikal, budaya dan sosial, demi membina sebuah ekosistem seni dan sistem masyarakat yang benar-benar terbuka dan inklusif.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *