Kuala Lumpur: “Berhenti cakap perkara mengarut mengenai suami saya. Terlihat biasa di mata anda (netizen) tetapi sangat luar biasa di mata saya,” kata pelakon Siti Elizad, 41.
Siti Elizad atau nama sebenarnya, Siti Elizad Mohd Sharifuddin berkata demikian ketika menjawab komen netizen yang mendakwa suaminya, Shamsul Baharin Abdul Rahman tidak mampu memberikan kemewahan padanya.
Meskipun kehidupannya tidak dilimpahi kemewahan tetapi dia tetap bahagia dengan caranya sendiri.
“Hidup saya mungkin nampak tidak mewah tapi saya tetap bersyukur kerana semuanya lebih dari mencukupi.
“Allah SWT sudah tetapkan kami begini, jadi jalani saja hidup ini dengan tenang, tak kacau orang pun,” katanya kepada Harian Metro.
Mengenai rumah tangga lagi, kata Siti Elizad, kebahagiaan dalam rumah tangga itu bukanlah bergantung kepada kemewahan semata-mata.
“Apa yang suami sediakan, saya sudah gembira. Teratak kecil kami, makan di kawasan rehat dan rawat, hotel RM80, gelak-gelak sepanjang naik motor, naik tongkang, itu semua sudah buat saya bersyukur.
“Hidup kami tidak berlumba dengan orang lain sebab hidup ini bukan satu pertandingan,” kata pelakon yang dikenali menerusi drama Teman Lelaki Upahan itu.
Terdahulu, Siti Elizad memuat naik perkongsian mengenai rumah tangganya itu di Instagram Story (IGs) dengan memaparkan momen dirinya bersama suami menyertai konvoi motosikal sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-41, semalam.
Siti Elizad mendirikan rumah tangga dengan Shamsul Baharin pada 11 Januari 2015. Namun pasangan ini belum dikurniakan rezeki cahaya mata ketika ini.