Kuala Lumpur : Filem animasi kebanggaan tanah air, Ejen Ali The Movie 2 (EATM2), sudah memulakan tayangan rasminya di 161 lokasi pawagam di seluruh Malaysia dan Brunei sejak Khamis lalu.
Malahan, pelancaran ini juga adalah tayangan filem animasi tempatan terbesar dalam sejarah industri filem negara.
EATM2 turut meraih pujian daripada beberapa Key Opinion Leaders (KOL) yang memuji jalan cerita, visual, runut bunyi dan aksi yang mengagumkan.
Rata-rata melihatnya sebagai langkah besar dalam memartabatkan industri animasi tempatan ke peringkat lebih tinggi.
Pempengaruh, Ceddy Ang, 37, berkata filem itu wajib ditonton terutama golongan ‘gamer’ kerana babak pertarungan yang mengagumkan, animasi berkualiti tinggi, runut bunyi menarik serta kesan visual yang canggih.
“Kalau awak seorang gamer, awak akan hargai filem ini kerana babak pertarungannya sangat bagus, animasi canggih, runut bunyi dan kesan visual semua memang terbaik.
“Kita dah tahu Ejen Ali ini setaraf peringkat antarabangsa, tapi bila tengok babak pertarungan tu, saya rasa menakjubkan.
“Sebagai rakyat Malaysia, saya rasa sangat bangga dan ingin memberitahu satu dunia yang ‘this is our movie’. Kita tak payah cakap pasal animasi luar negara dah, EATM2 memang luar biasa,” katanya.

Dalam pada itu, pempengaruh dan peminat setia Ejen Ali, Risk Saidon, 27, menyifatkan filem itu pamer sisi kematangan dan kemas dari segi animasi serta jalan cerita.
“Sebelum tengok EATM2, saya dah ulang tengok filem pertama sebanyak tiga kali. Dari segi animasi, yang kedua ni memang nampak kelainan, lebih halus dan lebih matang. Nampak betul usaha ‘animator’.
“Watak pun nampak menua, berkembang ikut masa. Kesan visual air memang menjadi. Filem pertama memang dah hebat, dan yang kedua ini pun tetap terbaik, cuma kena fikir lebih sikit.
“Secara keseluruhan, sangat bagus, saya bagi 10/10. Saya memang syorkan bawa anak-anak tengok,” katanya.
Sambutan hangat dan maklum balas positif daripada penonton dan penggiat media sosial, juga membuktikan EATM2 bukan sekadar filem sekuel biasa.