Kuala Lumpur: Penyanyi popular Hafiz Suip perlu menjalani rawatan susulan selepas disahkan menghidap batu karang di bahagian buah pinggang.

Menceritakan detik awal masalah kesihatan itu dikesan, Hafiz berkata semuanya bermula pada 14 Mei lalu apabila dia tiba-tiba mengalami kencing berdarah dan berasa tidak selesa.

“Saya tiba-tiba kencing berdarah rasa tak selesa. Jadi saya pun ke klinik untuk dapatkan ubat.

“Saya ingat tiada apa-apa dan keesokannya saya terbang ke Miri untuk memenuhi undangan persembahan. Namun pada 16 Mei ketika mahu buat ‘sound check’, saya mula rasa sakit dan terus ke hospital untuk dapatkan suntikan tahan sakit,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Hafiz, dia menyangka keadaannya sudah stabil, namun bertambah teruk apabila dia sekali lagi terpaksa dibawa ke pusat perubatan.

“Ingatkan sudah okey, tapi ketika bersiap ke acara itu saya terpaksa dibawa sekali lagi ke sebuah perubatan di Miri dan esoknya saya menerima rawatan di Kuching, Sarawak.

“Doktor maklumkan saya ada batu karang di buah pinggang. Saya belum menjalani sebarang pembedahan, cuma doktor baru letak ‘stand’ buat masa ini.

“Keadaan saya sekarang okey, cuma saya perlu menjalani rawatan susulan pada 31 Mei ini untuk melihat keputusannya,” ujarnya.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *