Kuala Lumpur: Naib juara Indonesian Idol musim ke-13, Fajar Noor, 20, menerima sokongan luar biasa daripada peminat dan juri walaupun gagal menjuarai program itu.

Rata-rata menyamakan bakat Fajar atau nama sebenarnya Fajar Nurdiansyah setaraf dengan penyanyi popular Indonesia Afgan Syahreza, 36, selepas mereka berduet lagu Lenggang Puspita di peringkat akhir program itu.

Nyanyian Fajar turut memukau salah seorang juri dan juga penyanyi iaitu Maia Estianty kerana dia merasakan sudah lama tiada penyanyi berbakat dan sehebat Afgan.

Menurut Maia, 49, karakter vokal yang dimiliki Fajar mempunyai kesamaan dengan Afgan dan dia turut meminta Afgan berhati-hati.

“Afgan hati-hati, awak ada saingan baru. Vokal anda berdua cukup mirip,” katanya pada malam Grand Final Result & Reunion Indonesian Idol 2025.

Namun, penyanyi lagu Bawalah Cintaku ini mengakui Fajar mempunyai ciri alunan dan melodi khasnya tersendiri.

Terdahulu, alunan merdu suara Fajar mencuri perhatian juri dan penonton menerusi lagu Menyesal ketika siaran langsung Showcase 2 Indonesia Idol 2025, malah mendapat lima ‘standing ovation’.

Mereka percaya Fajar boleh menjadi pesaing Afgan di masa hadapan, jika dia terus konsisten dalam kerjayanya.

Peserta X Factor Indonesia musim keempat itu juga bertekad untuk terus berkarya dan melanjutkan kariernya sebagai penyanyi.

“Saya mahu terus berkarya, mungkin membuat lagu sendiri. Semoga ia boleh jadi kawan untuk orang-orang yang lagi sedih atau perlu didengar,” katanya.

Fajar turut membawa pulang wang tunai sebanyak RM26,000, sebuah kereta dan pakej percutian.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *