Kuala Lumpur: Pelakon, Fauzi Nawawi berdepan pengalaman tidak menyenangkan apabila terpaksa menunggu hampir tiga jam di lokasi penggambaran gara-gara kelewatan seorang pelakon, baru-baru ini.

Fauzi berkata, tindakan pelakon itu disifatkan sebagai tidak beradab, apatah lagi apabila membabitkan ramai tenaga produksi yang sudah menunggu lebih awal.

“Pada hari itu ada babak kami bersama, tapi saya perlu tunggu dia hampir tiga jam. Sudahlah datang dengan muka tak bersalah dan hanya beritahu baru selesai rumah terbuka.

“Saya kalau datang lambat setengah jam atau 20 minit pun, saya akan pergi minta maaf kepada seluruh pasukan produksi. Bagi saya itu adab yang perlu dijaga apabila membuatkan orang lain menunggu,” katanya.

Fauzi berkata demikian ketika diundang sebagai tetamu jemputan program HTV yang bersiaran secara langsung di TV2, hari ini.

Selain Fauzi, turut sama hadir membincangkan topik Disiplin & Bakat ialah Datuk Fizz Fairuz.

Menurut Fauzi, dia tidak menafikan ada sesetengah pelakon muda masa kini yang lebih selesa menjadikan media sosial sebagai sumber pendapatan utama, lantas mengabaikan komitmen terhadap kerja seni.

“Syarikat produksi di Malaysia ini tidak banyak, membuatkan peluang pekerjaan agak terhad. Jadi apabila dapat sesuatu kerja itu, kita perlu jaga betul-betul.

“Tapi sekarang ini mereka rasa terlalu banyak sangat tawaran boleh dapat. Kalau bukan melalui lakonan, mereka boleh jana pendapatan di media sosial.

“Jadi mereka tak kisah sangat hingga hilang hormat kerana bagi mereka dengan bayaran yang diterima sebagai pelakon, mereka lebih jana keuntungan di media sosial,” katanya.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *