TIDAK timbul isu memilih artis, hakikatnya tujuan utama karnival gaya hidup dan makanan, Makar Fest ialah mahu menghargai artis yang juga ikon muzik tanah air.
Orang kuat Makar Fest anjuran bersama Red Bean Productions & Agency dan Sunburst KL, Issey Fazlisham berkata demikian ketika menjawab dakwaan kononnya hanya artis tertentu yang dipilih untuk membuat persembahan di karnival berkenaan.
Issey berkata, pemilihan nama besar seperti Datuk Awie pada Makar Fest 2.0 yang berlangsung di Dataran Shahbandar Kuala Terengganu pada 1 hingga 3 Mei lalu bersesuaian dengan konsep karnival berkenaan.
“Makar Fest bukan hanya karnival makanan, tetapi juga gaya hidup termasuk fesyen dan hobi, jadi kami berbesar hati apabila ‘legend’ seperti Datuk Awie setuju tampil membuat persembahan.
“Seperti yang kita ketahui beliau ada hobi tunggang motosikal berkuasa besar, selain penampilan bergaya di pentas.
“Sama juga ketika Makar Fest lalu apabila kita tampilkan Sifu Datuk M. Nasir yang juga ‘stylo’ selain seorang daripada ikon muzik negara kita,” katanya.
Issey menambah, bakat baharu seperti Amir Masdi juga diundang selain beberapa artis dibawa penaja iaitu Yaya Empire termasuk penyanyi lama Azman Kulit pada persembahan Malam Muzikal Makar.
Bercerita lanjut, penyampai radio itu tidak menolak bekerjasama dengan penyanyi lain pada masa akan datang yang sesuai dengan permintaan khalayak serta konsep karnival.

“Kami buka peluang kepada semua asalkan kena dengan suasana serta keadaan dan Insya-Allah Makar Fest juga bukan hanya terhad di Pantai Timur tapi kita akan bawa ke negeri lain juga,” katanya.
Issey lahirkan rasa terharu dan berterima kasih kepada semua atas kejayaan menarik 300,000 pengunjung sepanjang tiga hari karnival.
Katanya, antara faktor kejayaan termasuk aura Ustaz Azhar Idrus yang memeriahkan karnival pada malam pertama dalam sesi Dialog Anak Muda.”Saya terharu dan berterima kasih, sebenarnya tidak sangka sambutan luar biasa sejak hari pertama, terima kasih kepada semua warga Terengganu yang menyambut baik kehadiran kami.
“Saya perlu berterima kasih kepada Ustaz Azhar Idrus, Datuk Awie, Kerajaan Negeri Terengganu dan semua artis serta selebriti yang hadir.
“Begitu juga pasukan saya, rakan penaja, vendor dan semua yang terlibat menjayakan dan menyokong Makar Fest 2.0,” katanya.
Pada Malam Muzikal Makar, Awie menyampaikan lebih empat buah lagu termasuk Sejati, Sayap Ilusi dan Di Penjara Janji.