Kuala Lumpur: Pemain gitar kumpulan rock Heavy Machine, Olie dilaporkan diserang angin ahmar dan kini sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Pusat Perubatan Sunway.
Menurut sumber yang memaklumkan perkara itu kepada Harian Metro, keadaan Olie kini sangat membimbangkan apabila dia disahkan mengalami strok yang menyebabkan 80 peratus bahagian otaknya terjejas.
Difahamkan juga, Olie kini tidak dapat bertutur dan separuh bahagian tubuhnya di sebelah kanan mengalami kelumpuhan.
“Setakat ini, dia masih di ICU dan tidak dibenarkan menerima pelawat kecuali waris terdekat sahaja.
“Kami amat berharap agar rakan-rakan dan peminat dapat bersama-sama mendoakan kesihatan dan pemulihannya,” kata sumber berkenaan.
Harian Metro cuba mendapatkan pengesahan lanjut daripada pemain bass kumpulan itu, Nazaruddin, namun masih belum menerima sebarang maklum balas setakat ini.