Seorang individu meluahkan rasa kecewa terhadap trend majlis perkahwinan masyarakat Islam hari ini yang disifatkan lebih cenderung kepada mengundang kemurkaan Allah berbanding meraih keredaan-Nya.
Menerusi sebuah video di TikTok, individu tersebut tampil menyuarakan kegusaran apabila melihat semakin banyak majlis perkahwinan yang diadakan meniru budaya Barat dan jauh menyimpang daripada ajaran Islam sebenar.
Menurutnya, terdapat suami atau bakal suami yang gagal memainkan peranan sebagai pelindung apabila membiarkan isteri mereka berpakaian ketat dan dipertontonkan kepada khalayak.
Hari ini kalau kita tengok, kita sudah jauh daripada kehidupan Nabi Muhammad SAW. Perkahwinan adalah salah satu cara untuk mendapat reda Allah.
Tapi kalau kita tengok selebriti, perkahwinan mereka seperti orang kafir.Betapa jahilnya suami atau bakal suami yang mempertontonkan pasangan mereka kepada umum. Ini bukan cara Islam.

Hari ini majlis perkahwinan seperti orang kafir.Cara orang Islam, kita tiada pun pelamin. Tidak memperdagangkan isteri untuk dilihat umum.Kalau majlis kahwin kita pun Allah tak reda, macam mana kita nak dapatkan keredaan Allah dalam kehidupan kita?”
Beliau turut mengajak umat Islam mendalami ilmu agama dan kembali kepada kehidupan yang berlandaskan sunnah Nabi Muhammad SAW.
Meninjau ke ruangan komen, rata-rata warganet bersetuju dan turut bersedih melihat realiti hari ini di mana majlis yang sepatutnya penuh barakah menjadi medan maksiat secara terang-terangan.