Kuala Lumpur: Penyanyi dan pelakon, Wanns Ahmad mengakui sedang dilamun cinta dengan wanita yang juga pelakon, Khalida Balqis.

Wanns, 34, ketika ditemui di majlis pelancaran video muzik single terbaharunya, Bulanku berkata, sedang mengenali hari budi wanita yang mempunyai perwatakan menarik itu

“Akish (Balqis) itu adalah sosok wanita yang sedang saya kenali hati budinya, kalau boleh saya jelaskan begitu.

“Dia juga seorang pelakon. Sejujurnya, dialah yang paling istimewa di hati saya ketika ini.

“Tak ada sebab untuk saya sorok-sorokkan perkara ini. Lagipun, tiada siapa yang peduli sangat pun,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Wanns, mereka mula mengenali satu sama lain ketika menjalani penggambaran drama pada 2024.

“Kami pernah berlakon bersama. Pertemuan pertama kami berlaku ketika penggambaran bersama.

“Kali pertama berjumpa adalah sewaktu menjalani penggambaran drama Menantu Dari Amsterdam pada Januari 2024,” katanya.

Wanns juga mengharapkan doa daripada peminat-peminatnya agar jodoh mereka berpanjangan dan dapat meneruskan ke fasa seterusnya.

“Untuk perancangan ke fasa seterusnya dalam hubungan ini, saya mohon doa yang baik-baik daripada semua.

“Kalau Tuhan permudahkan, kalau Tuhan kurniakan rezeki, insya-Allah. Memang bunyinya mungkin kedengaran agak poyo, tapi itu sahaja yang mampu saya jawab.

“Kalau benar ini jodoh yang ditentukan Tuhan, saya reda dan bersyukur,” katanya.

Balqis turut hadir memberikan sokongan kepada Wanns di majlis pelancaran video muzik Bulanku.

Selain Balqis, turut hadir, pelakon yang berlakon dalam video muzik itu, Amyra Rosli.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *