Kuala Lumpur: Pelakon, Mona Allen, 40, mendedahkan dia pernah berasa ‘insecure’ (kurang keyakinan diri) ketika berat badannya mencecah lebih 80 kilogram (kg) selepas melahirkan anak sulungnya sebelum ini.

Mona atau nama sebenarnya, Muna Hafiraneza Allen berkata, dia juga terpaksa mengambil tempoh setahun untuk menurunkan berat badannya ketika itu.

“Saya sukar nak turunkan berat badan kerana menyusukan anak dan itu antara sebab saya menolak tawaran berlakon serta berehat seketika dari bidang lakonan.

“Selepas mengamalkan diet makan sehari sekali ketika bulan puasa, saya berjaya turunkan berat badan sebanyak 10 kg.

“Berat badan saya sekarang 60 kg dan saya bercadang untuk turunkan lagi lima kilogram kepada 55 kg sebagai persediaan buat ‘comeback’ dalam bidang lakonan,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran aplikasi drama pendek pertama di Malaysia, Do Drama semalam.

Mengenai lakonan pula, kata Mona yang sudah berehat selama tiga tahun, hatinya terbuka untuk kembali berlakon kerana masih meminati bidang lakonan yang diceburi sejak dulu.

“Saya terbuka hati nak berlakon kerana anak sulung pun sudah besar dan akan cecah usia 3 tahun.

“Namun, saya akan lebih selektif dari segi tawaran kerana perlu sesuai dengan penampilan berhijab dan status sebagai isteri serta ibu,” kata isteri pelakon Pekin Ibrahim itu.

Mengenai watak lagi, kata Mona, dia juga meletakkan syarat tiada babak bersentuhan kepada penerbit dan pengarah yang menawarkannya berlakon ketika ini.

“Takkanlah selepas berhijab saya nak langgar pegangan sebagai wanita muslimah. Bukan suami yang letak syarat tapi saya yang sangat menjaga perkara itu.

“Boleh bersentuhan tapi biarlah berlapik. Contohnya, dalam drama pendek berjudul Magika, Bulan Mengembang! untuk siaran Do Drama ini, saya berganding dengan pelakon Along Eyzendy sebagai pasangan suami isteri tapi saya tidak risau kerana ada ‘camera trick’ (teknik kesan kamera) yang digunakan,” katanya.

Mona mendirikan rumah tangga dengan Pekin, 43, pada 7 Disember 2018.

Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua anak lelaki iaitu Petra Pekin, 3 dan Persia hampir setahun.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *