Shah Alam : “Seronok juga sebab rupa-rupanya dia masih sayangkan saya. Namun, saya kena fikir langkah seterusnya macam mana,” kata penyanyi, Datuk Nora Ariffin, 51, selepas suaminya, Dr Rushdi Ramli tidak melafazkan talak pada prosiding sebutan pertama perceraian mereka di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, di sini, hari ini.

Nora atau nama sebenarnya Wan Norafizah Wan Ariffin, 51, yang pada awalnya berdebar berkata, dia perlu mempertimbangkan perkara yang harus dilakukan selepas ini termasuk sekiranya perceraian tidak berlaku.

“Saya mohon ruang untuk melalui semua ini dan perlu fikir kalau teruskan (rumah tangga) adakah akan jadi perkara sama dan sebagainya.

“Kami tak bermusuh dan tiada benda yang nak benci dia. Sebab dia terlalu baiklah jadi begini. Namun, saya berserah,” katanya.

Menurut Nora, dia akan melalui proses yang akan berlangsung selepas ini dengan berlapang dada dan menegaskan tindakannya memfailkan perceraian bukan sengaja untuk mencipta drama rumah tangga.

“Saya bukan nak cipta situasi atau buat drama. Saya tak perlukan semua itu dan hanya mahu bersihkan nama saya. Tindakan saya memfailkan cerai pun sebab sudah terlalu penat melalui semua ini. Memang saya boleh bertahan, tetapi sampai bila?

“Saya dah buat apa yang patut dilakukan. Hari ini pun keputusan dia yang tidak dipengaruhi mana-mana pihak. Bagaimanapun, saya sebagai isteri, perlu hormat dan berbincang selepas ini,” katanya.

Ditanya sama ada perbincangan dengan pihak suami selepas ini, Nora akan melakukannya mengikut keperluan.

“Tengok keadaan macam mana, kalau perlu, perlu lakukan (komunikasi) sebab kami pun tak bermusuh. Semua ini berlaku disebabkan gangguan anasir luar dan bukan daripada kami sendiri,” katanya.

Terdahulu, Nora dan Rushdi hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Petaling bagi prosiding sebutan pertama perceraian yang difailkan Nora.

Rushdi bagaimanapun enggan melafazkan talak dan mahkamah menetapkan 4 Jun sebagai tarikh sebutan kedua.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *