Kuala Lumpur: “Saya berada di Sabah atas urusan kerja semalam dan rasa terkilan juga sebab tak dapat tunaikan impian arwah kakak untuk kami keluar meluangkan masa bersama,” kata penyanyi, Datuk Khadijah Ibrahim, 65, mengenai kakaknya, Allahyarham Sophia Ibrahim, 77.
Khadijah berkata, dia ada mengirimkan pesanan mesej ringkas kepada arwah kakaknya itu untuk bertanya khabar kira-kira jam 3 petang semalam dan ia adalah perbualan terakhir mereka.
“Tapi, kali terakhir saya berjumpa dengan arwah kakak kira-kira dua minggu lalu dalam majlis perjumpaan keluarga. Selepas itu, saya memang sibuk dengan urusan kerja yang memerlukan ‘terbang’ ke Singapura dan semalam, saya berada di Sabah.
“Apapun, saya sebenarnya memang berniat apabila kembali ke Kuala Lumpur, nak bawa arwah kakak keluar berjalan-jalan dan makan-makan bersama sebab saya memang sering melayannya,” katanya kepada Harian Metro.
Menurut Khadijah, bagaimanapun hasratnya itu tak kesampaian apabila Allahyarham.
Sophia disahkan meninggal dunia, jam 7.15 petang semalam dan dia mengetahui berita sedih berkenaan daripada anak saudaranya, Hairee.
Khadijah berkata, Allahyarham Sophia adalah anak sulung daripada 12 beradik dan sejarah rekod kesihatannya, arwah memang tidak mempunyai penyakit kronik selain asma, batuk dan selsema.
Berbicara lanjut mengenai arwah, Khadijah berkata, dia sangat rapat dengan arwah dan selalu menghubungi kakaknya pada setiap hari kerana Sophia memilih tinggal bersendirian.
“Kami akan berhubung setiap hari tak kiralah panggilan telefon atau kiriman mesej WhatsApp. Biasanya, kalau dia (arwah) senyap, saya akan segera bertanya khabar kepadanya.
“Saya juga suka layan dia makan. Apa saja makanan yang dia teringin nak makan macam bubur sum sum kegemarannya, saya akan berusaha memasak hidangan itu dan dia akan rasa sangat gembira.
“Bagaimanapun, saya sebenarnya tak nampak apa-apa perubahan pelik sebelum arwah nak ‘pergi’. Tapi Hairee ada beritahu yang arwah ada cakap dua tiga kali kepadanya yang dia (Sophia) dah nak pergi,” katanya.
Ujar Khadijah, Allahyarham kakaknya itu pasti tidak akan cakap perkara macam sebegitu di hadapannya kerana dia seorang yang sangat positif.
“Apapun, pada hari ini saya sangat bersyukur kerana pengurusan jenazah kakak saya dari hospital sehinggalah ke liang lahad dipermudahkan Allah. Malah, cara pemergiannya semalam pun mudah.
“Dia tak sakit lama pun dan semua yang berlaku ke atas arwah kakak semalam, secara tiba-tiba. Saya reda dengan kematian kakak saya dan semoga rohnya dicucuri rahmat oleh Allah,” katanya.
Allahyarham Sophia juga adalah kakak kepada penyanyi dan pelakon Allahyarham Latiff Ibrahim yang meninggal dunia pada 20 Februari 2012.
Terdahulu, Allahyarham Sophia selamat dikebumikan Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah, Jalan Karak di sini, kira-kira jam 10.30 pagi ini.
Allahyarham Sophia meninggalkan empat orang anak dan lima orang cucu.
Pada pengebumian itu, antara rakan artis yang dilihat hadir memberikan penghormatan terakhir adalah Mak Jah, Mustafa Kamal, Salamiah Hassan, Suzan Menan, Riot Kool dan Ifa Raziah.